SARIKEI, 25 Feb — Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang percaya stesen radio Radio Free Sarawak, yang kritikal terhadap kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud, beroperasi dari Melaka bukannya di London sebagaimana disangkakan.
“Saya ada mendengar tentang kewujudannya. Saya juga difahamkan ia beroperasi di Melaka, bukan di London, seperti yang dipercayai,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
Laporan London Evening Standard kelmarin menyebut siaran Radio Free Sarawak dikendalikan oleh adik ipar bekas perdana menteri Gordon Brown dan seorang warga keturunan Dayak dari London.
Akhbar tabloid itu mendedahkan, Claire Rewcastle Brown juga penulis Sarawak Report, yang sehingga kini merupakan blog tanpa diketahui nama pengendalinya, yang turut mengkritik kerajaan Barisan Nasional dan mencatatkan 18,000 hit setiap hari.
Menurut akhbar itu, Rewcastle Brown dan Peter John Jaban, yang dikenali sebagai Papa Orang Utan oleh pendengar stesen tersebut, telah memutuskan untuk mendedahkan identiti mereka menjelang pilihan raya umum Sarawak, dijangka diadakan April ini.
Rewcastle Brown, 51, berkata peranannya ialah memberikan “peluang kepada 2.5 juta penduduk Sarawak yang ditindas.”
Program radio itu disiarkan dari sebuah restoran di Covent Garden, yang terletak di tengah London, ke Sarawak yang jauhnya kira-kira 10,000km.
Tujuan siaran itu ialah mendedahkan dakwaan rasuah dalam kepimpinan Taib, yang memimpin Sarawak sejak tiga dekad lalu.
The London Evening Standard mengunjungi studio Radio Free Sarawak ketika Jaban sedang menemu bual seorang ketua kampung yang telah dipaksa keluar dari tanahnya. Ketua kampung itu bercakap dengan Jaban menggunakn telefon bimbit dari hutan Borneo.
Menurut akhbar itu, kedua-dua mereka merahsiakan identiti masing-masing kerana bimbang Taib, 74, yang dikatakan salah seorang tidak berbelas kasihan dan lelaki paling kaya di dunia — didakwa lebih kaya berbanding Sultan Brunei, akan mendapatkan mereka dengan apa jua cara sekalipun.
Salang berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap dakwaan wujudnya stesen radio haram Radio Free Sarawak sekiranya terdapat laporan polis mengenainya.
Beliau berkata setakat ini, belum ada laporan dibuat mengenainya kepada polis atau Kementerian Dalam Negeri.
“Jika terdapat laporan mengenainya, SKMM akan menyiasat. Jika kandungannya melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, SKMM boleh menyekat siarannya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen Julau yang diwakilinya.
Salang berkata oleh kerana stesen radio itu tidak diberi lesen oleh SKMM, maka ia adalah stesen haram.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Sarawak Abdul Karim Hamzah hari ini meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap stesen radio itu.
Beliau berkata dalam siaran hariannya, stesen itu menghasut rakyat Sarawak supaya menentang kerajaan negeri dan cuba menimbulkan kebencian antara kaum.
“Aneh sungguh apabila ada orang yang sanggup melakukan perkara yang boleh membawa keburukan kepada negara.
“Manusia yang berfikiran waras akan berusaha untuk menambah baik keadaan di negara mereka, bukan memusnahkannya,” kata beliau.
Salang berkata sekiranya rakyat merasakan ada individu bertindak dengan cara yang tidak betul terhadap negara, mereka perlu melaporkannya kepada polis. - MI
Ibu biar budak 5 tahun pandu kereta
1 hour ago
0 Komen :
Post a Comment