Sidang media kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM) yang dijadual jam 11 pagi tadi 'diganggu' oleh pihak keselamatan kampus itu selama 15 minit apabila kumpulan berkenaan diminta bersurai.
Sebelum sidang media itu berlangsung, seorang pegawai keselamatan menghampiri sekumpulan kira-kira 20 mahasiswa yang berkumpul di Gazebo, Kompleks Perdanasiswa UM supaya beredar atau butiran peribadi mereka akan diambil.
"Saya minta kepada semua bersurai. Kalau tidak bersurai, saya akan hantar nama kamu ke HEP (Hal Ehwal Pelajar). Tolong fikir masa depan (kamu) dan emak ayah kamu di rumah," kata pegawai berkenaan.
Sejurus selepas itu, kelihatan lima daripada sepuluh pegawai keselamatan mula butiran peribadi mahasiswa yang masih tidak bergerak. Mereka diberikan kerjasama yang baik dengan masing-masing menunjukkan kad pelajar.
Bagaimanapun, kumpulan pelajar berkenaan berkeras meneruskan sidang media walaupun dilarang.
Ekoran itu berlangsung 'pujuk-memujuk' antara beberapa aktivis pro-M dengan pasukan keselamatan memandangkan pihak media telah hadir untuk membuat liputan.
Di saat itu, jumlah mahasiswa bertambah kepada 40 orang.
'Semua naik ke atas!'
Keadaan menjadi tegang apabila pihak keselamatan enggan bertolak ansur dan membunyikan siren kereta perondanya yang diletakkan berhampiran kawasan tersebut.
Kumpulan pro-M yang akan menghadapai pilihan rayanya pada 21 Februari ini bagaimanapun cuba meneruskan sidang media dalam keadaan bising.
Malah, seorang aktivisnya Mohd Izzuddin Hilmi dengan muka merah padam bertempik: "Semua naik ke atas (Gazebo)!".
Sambil menaiki tangga Gazebo, kumpulan berkenaan bertempik "Student Power" dan "Bangkit Mahasiswa" beberapa kali.
Tidak lama selepas itu, bunyi siren daripada kereta peronda keselamatan itu dihentikan dan pelajar berkenaan meneruskan sidang media berkenaan.
Dalam sidang media itu dalam penuh kepayahan selepas itu, Presiden Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Ahmad Syazwan Muhammad Hasan mengkritik insiden itu sebagai "kematian demokrasi di kampus".
"Ia sebagai usaha untuk menutup kebebasan bersuara. Nak buat sidang media, disekat, malah nombor kad matrik diambil," katanya dalam sidang media selama 10 minit selepas dihentikan oleh pengawal keselamatan sekali lagi.
Penumpang e-hailing ghaib, tinggalkan kain putih
27 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment