Kenaikan Harga Gula, Petrol Serta Anwar, Antara Modal Pembangkang Di Tenang
Kenaikan harga barangan seperti gula, petrol, hal-hal berkaitan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara isu yang dijangka menjadi modal pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor.
Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata, sehubungan itu Barisan Nasional (BN) perlu menggandakan usaha termasuk memperkemaskan jentera parti dan memberi penjelasan yang terbaik kepada pengundi bagi mematahkan serangan daripada pembangkang.
Beliau berkata isu-isu berkenaan sengaja dibangkitkan pembangkang bagi meraih sokongan kerana ia adalah perkara yang amat dekat di hati pengundi.
"Saya melihat di sini, terdapat dua isu yang mungkin akan dibangkitkan. Pertama ialah isu nasional iaitu mengenai kenaikan harga barangan, rasuah dan kes (Penasihat Parti Keadilan Rakyat) Anwar dan kedua ialah isu tempatan seperti tanah, perniagaan dan juga Felda.
"BN mampu mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan syarat gerak kerja terhadap kempen penerangan yang dilakukan jentera parti itu dapat diperkemas dan dimantapkan dari semasa ke semasa," katanya dihubungi Bernama di sini, Isnin.
Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga berkata dari bacaan awal politik, BN tidak mempunyai masalah besar untuk menang di kawasan itu memandangkan sentimen sukakan BN masih menebal di kalangan pengundi.
Bagaimanapun, beliau berkata, melihat dari segi jumlah majoriti undi yang diperoleh BN pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, menyaksikan penurunan majoriti undi sebanyak kira-kira 16 peratus.
"Tahun 2004, BN memperoleh majoriti undi sebanyak 5,517 manakala tahun 2008 mendapat 2,492 undi. Ini adalah satu perkara yang harus dipandang serius oleh BN," katanya.
Kerusi DUN Tenang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha, 59, dari BN akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 17 Dis lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi DUN Tenang pada 22 Jan ini dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Jan.
DUN Tenang mempunyai seramai 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pengundi pos, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.
Daripada jumlah itu, 7,014 orang atau 47.54 peratus terdiri daripada Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).
-- BERNAMA
Wanita terjatuh tingkat 24 ditemui tersangkut di gondola
53 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment