Pencabulan konsep federalisma berhubung perlantikan jawatan setiausaha kerajaan negeri Selangor (SUK) sekarang akan mengakibatkan kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional, kata presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (pertama dari kiri).
“Kerajaan UMNO-BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi.
“Rampasan ini jugalah yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya. Apapun, kita percaya bahawa rakyat akan memberi respon di seluruh negara dalam pilihanraya yang akan datang dengan menukar kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini.
Tidak hormati pilihan rakyat
Katanya, bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan, tidak akan menjamin BN akan terus kekal sebagai pemerintah kerana dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk Umno-BN.
Sehubungan itu, menurut Abdul Hadi, krisis perlantikan jawatan setiausaha kerajaan negeri Selangor (SUK) yang sedang berlaku adalah akibat sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan rakyat yang memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri tersebut.
"Dalam pilihan raya yang lalu rakyat sudah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah di Selangor.
"Di atas asas yang sama, agensi yang membuat pelantikan perkhidmatan awam di peringkat persekutuan memahami hasrat rakyat tersebut," katanya.
Abdul Hadi berkata sikap BN melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma.
0 Komen :
Post a Comment