BlogList Malaysia

16 November 2010

Pusat peruntuk RM35 juta bantu mangsa banjir

Kerajaan Pusat memperuntukkan wang ehsan sebanyak RM35 juta kepada lebih 17,000 keluarga mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata bantuan kewangan itu akan diberi secepat mungkin, sebaik sahaja kerajaan menerima senarai penuh mangsa banjir.

Bantuan itu bagi membantu memulihkan semula keadaan mereka, katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat banjir di Majlis Keselamatan Negara Kedah di Alor Setar hari ini.

Lebih 77,000 orang daripada lebih 17,000 keluarga di Kedah dan Perlis terlibat dengan banjir yang berlaku pada 1 hingga 14 November lalu.

Mohamed Nazri berkata walaupun kemungkinan tidak akan berlaku banjir gelombang kedua, segala kelengkapan logistik masih diletakkan di negeri ini sebagai langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.



"Saya ada bertanya dengan Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Meteorologi tentang ancaman banjir gelombang kedua, tetapi mereka menyatakan bahawa kemungkinan tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata penggunaan Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) juga dicadang bagi mengatasi masalah komunikasi yang dihadapi semasa berlakunya banjir.

"Antara masalah yang sering dihadapi ialah masalah komunikasi untuk membantu mangsa banjir seperti pengedaran makanan kepada mangsa, jadi GIRN adalah salah satu cara yang dapat mengatasi masalah itu jika berlaku banjir lagi," katanya.

- Bernama

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas