Umno S'gor: Noh ketua, Ezam ketua penerangan?
Penyusunan semula kepemimpinan Umno Selangor dijangka akan menyaksikan Datuk Seri Noh Omar dilantik sebagai pengerusi perhubungan negeri.
Jawatan timbalan pengerusi perhubungan yang dikosongkan Noh pula akan diisi oleh Abdul Shukor Idrus (kini merupakan ketua penerangan Umno negeri itu), menurut tulisan ringkas yang disiarkan semalam di sebuah laman pro-Umno.
Laman parpukari.blogspot.com itu dilihat hampir dengan kepemimpinan Umno negeri dan dan sering dipetik oleh akhbar arus perdana.
Menurut laman itu lagi, Senator Ezam Mohd Nor yang menyertai Umno pada Jun 2008 pula akan mengisi jawatan ketua penerangan Umno negeri yang dikosongkan oleh Abdul Shukor,
Ketika diminta mengulas desas-desus yang disiarkan blog berkenaan, Abdul Shukor berkata perkara itu masih belum disahkan lagi.
Jelasnya, perkara itu itu hanya akan disahkan dalam mesyuarat majlis tertinggi parti itu yang dijadualkan pada petang ini.
Mesyuarat berkenaan bagaimanapun ditunda sebagai menghormati majlis pengebumian bekas ketua menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu.
"Saya tidak ada maklumat lanjut sebab belum ada pengumuman lagi," kata Abdul Shukor lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Najib dalam ucapannya di perhimpunan agung Umno pada Oktober lalu mengumumkan untuk membuat perubahan kepemimpinan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Perubahan itu diumumkan berikutan beberapa teguran yang ditimbulkan oleh para perwakilan dalam persidangan berkenaan.
0 Komen :
Post a Comment