“Minta maaf, saya sangat penat, Selamat Tinggal” antara kandungan nota yang dijumpai pegawai penyiasat dalam beg sandang milik Teoh Beng Hock, tiga bulan selepas kematiannya.
Jurubahasa mahkamah Ting Chin Kin ketika memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh, berkata terjemahan daripada Bahasa Cina ke Bahasa Melayu itu turut mengandungi luahan perasaan serta permohonan maaf kerana tidak dapat membantu.
Ting kemudian diminta membaca terjemahan keseluruhan nota yang dipercayai ditulis oleh Teoh yang berbunyi seperti berikut: “Ou Yang.
“Dalam keadaan tidak menyalin fail dalam komputer saya, mereka telah mengambil semua komputer itu. Mereka asyik menyalahkan kamu. Minta maaf.
“Tidak mengerti tapi pura-pura mengerti, akhirnya menyusahkan kamu. Saya kata, ‘mendapat kelulusan YB’ mereka berdegil menaip jadi ‘mengikut arahan YB’.
“Saya tidak dapat membantu kamu, maaf. Minta maaf, saya sangat penat, Selamat Tinggal.”
Ting berkata beliau menterjemah nota yang ditulis pada kertas A4 itu pada 4 September selepas diarahkan Koroner Azmil Muntapha Abbas dan tidak pernah mendedahkan maklumat berkenaan kepada sesiapa.
Dalam pemeriksaan balas, peguam Gobind Singh Deo (gambar) yang mewakili keluarga Teoh mempertikaikan terjemahan Ting berhubung perkataan “selamat tinggal” dengan mengemukakan dua kamus terjemahan.
Walaupun mengakui perkataan sama boleh diterjemah sebagai “jumpa lagi”, Tin berkata menerusi cariannya di Google, perkataan yang tertera dalam nota itu sebenarnya membawa maksud “selamat tinggal”.
Terdahulu, pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal memberitahu mahkamah bahawa beliau mula mengesan nota berkenaan selepas tiga bulan kematian Teoh selepas dinasihatkan supaya berbuat demikian oleh pakar perunding forensik psikiatri Hospital Permai Dr Badi’ah Yahya.
“Pada 7 Oktober 2009, jam 3 petang ketika saya di pejabat saya ada hubungi Dr Badi’ah tentang perkara-perkara yang perlu diambil dari sudut psikologi.
“Beliau ada beritahu saya biasanya kes bunuh diri akan ada surat atau nota yang akan ditinggalkan dan minta saya periksa apa-apa nota yang ditinggalkan Teoh.”
Ahmad Nazri berkata, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Zurinawati Zulkufli menunjukkan kepada dia beg sandang milik Teo yang dijumpai di (bekas) pejabat bekas SPRM Selangor di tingkat 14 Plaza Masalam.
“Ketika saya berada di tingkat 14 kira-kira pada pukul 5 petang 16 Julai 2009, Zurinawati menunjukkan beg Teo Beng Hock, yang ada di atas sofa,” kata Ahmad Nazri.
Dia kemudian membawa beg tersebut ke pejabatnya dan menyenaraikan barang-barang yang terdapat dalam beg itu pada pukul 12.20 tengah hari hari keesokan.
“Beg itu berjenama Vzvec dan dalam beg itu terdapat dompet jenama Kaufmane,” kata Ahmad Nazri.
Menurutnya, barang-barang yang ditemui dalam dompet hitam itu antara lain terdiri daripada kad pengenalan Teoh, kad ATM RHB, Bumiputra Commerce, Bank Simpanan Nasional dan Public Bank, kredit kad Visa dan Mastercard, kad ahli DAP, kad media dengan nama Teoh Beng Hock, kad Great Eastern dengan nama Teoh Beng Hock, kad Jusco, kad Bonuslink, kad Autopass, kad Mesra Petronas, kad Sushi King, kad tiket Plaza Masalah, 11 keping wang kertas RM50, lima keping wang kertas RM10, satu keping wang kertas RM5 dan tiga keping wang kertas RM1.
“Itu semua yang saya senaraikan dari dalam dompet. Sebenarnya ada lagi barang-barang lain tetapi saya tidak senaraikan kerana bukan barang penting,” kata Ahmad Nazri.
Katanya, dia hanya menyenaraikan barang-barang itu selepas tiga bulan iaitu pada 7 Oktober tahun lalu, yang mana terdapat duit syiling, pen, kad PVC, kalendar kecil 2009, slip bank CIMB bertarikh 13 Julai 2009, resit tol Mines bertarikh 4 Julai 2008, kenyataan baki akaun bank RHB, lesen kenderaan Teoh dan 13 gambar berukuran pasport milik Teoh.
Ahmad Nazri berkata barang-barang itu ditemui dalam beg hitam.
“Dalam beg Teoh terdapat lima keping DVD, CD perisian, CD dengan label ‘Perbelanjaan Persekutuan 2009, CDR, CD dengan tulisan Cina, kamera digital jenis Lumix, dua pembaca kad memori berwarna merah jambu dan kuning, ‘pendrive’, pemadan, peranti untuk mengecas bateri Lumix Panasonic, ‘adaptor bluetooth USB’, gelang, empat gambar berlainan saiz dan buku nota yang bertajuk Catatan Ringkas Dewan Undangan Negeri Selangor Darul Ehsan,” katanya.
Pegawai polis itu berkata, turut ditemui ialah kad Universiti Kebangsaan Malaysia milik Teoh Beng Hock, pas pejabat setiausaha Selangor, kunci, rantai kunci dengan tiga kunci, rantai kunci dengan lima kunci, rantai kunci dengan dua kunci, rantai kunci dengan 11 kunci dan kunci kereta Toyota yang mana ia kemudian diserahkan kepada ayah Teoh pada 24 Julai tahun lalu.
“Ini adalah semua barang yang saya senaraikan. Terdapat barang lain yang saya tidak senaraikan kerana tidak penting,” kata Ahmad Nazri.
Antara barang yang tidak disenaraikan pada malam itu adalah angpau dengan wang kertas RM50, kad nama, buku cek Public Bank, dua batang pen hitam Kilometrico yang kemudian dihantar ke Jabatan Kimia, sebatang lagi pen hitam Kilometrico juga dihantar ke Jabatan Kimia, sebatang pen Zebra juga dihantar ke Jabatan Kimia, tiub kaca, sepasang alat pendengar Motorola, sebatang pemutar skru kecil, dua cenderahati, gunting kecil, tiga keping kertas yang bertajuk ‘AGM Qualifying Member List’, voucher tunai, sekeping kertas bertajuk ‘Minit Mesyuarat DAP Serdang 12 Feb 2009’, dua keping kertas dengan tulisan Cina, dua keping bersaiz A4 yang mempunyai tulisan di depan dan belakang dan sekeping kertas putih bersaiz A4 dengan tulisan Cina dan Bahasa Malaysia dihantar ke Jabatan Kimia, yang mana kemudian Gobind mengesahkan ia adalah nota kontroversi itu.
Ahmad Nazri berkata, dia mengambil masa lebih satu jam setengah untuk menyenaraikan barang-barang yang terdapat dalam beg Teoh sambil menambah dia membuat laporan polis pada hari berikutnya iaitu 18 Julai.
“Pendakwa menyerahkan kepada kami terjemahan dari nota itu pagi tadi,” kata Gobind.
Peguam itu berkata akan menguji terjemahan itu jika beliau hadir di perbicaraan inkues itu yang akan bersambung tengah hari dan berharap beliau boleh bertanya kepada Ahmad Nazri dulu.
“Saya harap untuk menyelesaikan perkara ini hari ini,” kata Gobind.
“Jika beliau (jurubahasa mahkamah) tidak setuju dengan cadangan saya (kandungan nota itu), saya akan memanggail jurubahasa sendiri,” tambahnya.
Sebelum ini, Gobind dan peguam kerajaan Selangor Malik Imtiaz Sarwar mempersoalkan kesahihan bukti baru yang dikemukan Jabatan Peguam Negara selepas Dr Pornthip Rojanasunand berkata protokol ketat perlu untuk menjaga bukti.
Bulan lalu pakar forensik Thailand itu berkata institusinya mengamalkan protokol ketat dalam menguruskan bahan bukti seperti dokumen, termasuk menguruskan cap jari dan ujian DNA selepas kejadian.
Keluarga Teoh sebelum ini kecewa dengan Jabatan Peguam Negara yang cuba untuk mengatakan nota itu adalah bahan bukti dan ia dikatakan ditulis Teoh sebelum ditemui mati secara misteri tahun lalu.
Sweden, Finland gesa rakyat sedia untuk berperang
48 minutes ago
1 Komen :
Andaian: Teoh dan seseorang ada membuat temujanji di suatu tempat (cth: restoran). Teoh mungkin lambat atau ada urusan lain, lalu individu tersebut sudah letih dan bosan untuk menunggu, lalu meninggalkan nota demikian kepada seseorang (cth: pelayan) untuk diserahkan kepada Teoh. Tidakkah nota tersebut akan berbunyi seperti “Minta maaf, saya sangat penat, Selamat Tinggal”. Sudah tentu Teoh akan menyimpan nota tersebut di dalam beg sandangnya.
Kenapa tidak gunakan handphone untuk berhubung? Tiada hp, tidak bawa hp, hp hilang, hp dicuri, hp rosak, hp tak ada kredit, tiada no hp Teoh dan sebagainya.
Kenapa nota di dalam beg sandang?, kenapa tidak diletak di dalam poket? atau ditinggalkan di ruangan beliau tidur yang mudah dikesan?
Kenapa lambat sangat polis memeriksa beg tersebut, sebab andaian bunuh diri telah diwar-warkan dari awal-awal lagi? Bukankah menjadi prosedur berstandard bahawa bagi kes bunuh diri, wajar ada nota ditinggalkan. Kenapa itu tidak didahulukan jika mahu menuduh sesuatu kes itu bunuh diri?
Post a Comment