Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Ishak Saat meminta kepimpinan negara mengambil peluang lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Singapura untuk menyelesaikan beberapa masalah tertunggak antara kedua-dua negara itu.
Menurutnya, lawatan itu merupakan platform terbaik bagi perundingan empat mata antara kedua negara bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.
"Pertemuan ini boleh menyelesaikan banyak isu tertangguh. Kalau boleh pertemuan itu turut membincangkan masalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan masalah air yang tak pernah selesai," katanya.
Bagaimanapun, Ishak dalam perbualan telefon bersama Buletin Awani semalam, berkata fokus utama yang perlu diungkap ialah masalah tanah di Tanjung Pagar yang berlarutan lebih 20 tahun.
Beliau menegaskan hal itu bukannya isu wang ringgit tetapi maruah dan kedaulatan negara yang sepatutnya difahami dan dihayati kepimpinan negara.
"Hal ini (Tanjung Pagar) perlu diperhalusi secara terperinci supaya bukan sahaja menang dari perbincangan tetapi dapat memuaskan hati rakyat," katanya.
Beliau juga berharap kepimpinan negara mengetahui situasi dan perkara yang perlu dibincangkan pada kadar yang serius dan bijaksana.
"Kita sepatutnya jadi pihak yang menuntut bukannya dituntut kerana kebanyakannya adalah hak Malaysia sendiri," katanya yang tidak mahu insiden Batu Putih yang diserah Mahkamah Keadilan Antarabangsa kepada Singapura, berulang.
"Saya berharap kepimpinan Malaysia dan Singapura tidak hanya membincangkan hal politik semata-mata, kerana kalau lihat hubungan antara kedua-dua negara, ini berkait rapat dari segi sejarah dan persaudaraan," katanya.
Mengikut kenyataan Wisma Putra, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawat, Lee Hsien Loong dan bersama mempengerusikan mesyuarat delegasi.
Kedua-dua pemimpin dijangka membuat susulan berkenaan pelaksanaan Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA).
Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa menteri Kabinet, antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
(Radzi Razak)
19 September 2010
Najib Digesa Bincang Isu Tanjung Pagar
Dicatat Oleh
bloglist malaysia
Penanda
najib
,
singapura
,
tanjung pagar
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment