PAS, yang berhadapan dengan kerisauan perwakilan bahawa kehilangan sokongan pengundi Melayu Islam, hari ini disaran agar menggunakan isu lesen judi khususnya judi sukan baru-baru ini untuk memikat golongan berkenaan.
Pandangan ini diberikan selepas beberapa perwakilan yang membahaskan ucapan dasar presiden semalam dan pagi tadi membangkitkan keprihatinan mereka PAS kehilangan pengundi-pengundi Melayu Islam sejak kebelakangan ini.
Salah seorang perwakilan, Khairuddin Abd Malek dari Tambun, Perak mengemukakan pendapatnya dengan mendesak kerajaan pusat agar memansuhkan lesen semua jenis sukan dan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen pertaruhan yang sedia ada.
“Pendirian ini penting agar sikap PAS tidak dilihat sebagai parti yang tidak serius (dalam membangkitkan isu),” kata beliau.
“Mengapa tidak PAS membawa isu ini ke jalan (demonstrasi)... jika (Ketua Umum Pakatan Rakyat) Datuk Seri Anwar (Ibrahim) membawa isu ekonomi, mengapa tidak PAS mengusahakan isu judi,” kata beliau ketika membahaskan usul desakan memansuhkan judi sukan, yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.
Dalam mengutarakan pandangan bagi memperkukuhkan asas sokongan Melayu Islam kepada PAS, Khairuddin juga mahu PAS mengadakan pertemuan dengan semua mufti bagi menjayakan usaha tersebut.
Kata beliau, PAS perlu meminta kerjasama mufti bagi memohon perkenan Raja-raja Melayu agar menggesa kerajaan pusat menghapuskan semua bentuk judi.
“Kita mesti memainkan peranan ini... kita mesti ada usaha untuk membogelkan Umno dari judi,” katanya.
Usul ini diluluskan secara sebulat suara selepas dibahaskan.
Usul itu antara lain meminta kerajaan memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.
Ia juga mendesak PAS pusat memobilasasikan semua rakyat Malaysia menyertai Himpunan 100,000 Mansuhkan Judi di ibu negara, 3 Julai sebelum menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Himpunan anjuran Pemuda PAS itu dijangka mendapat lebih 20 badan bukan kerajaan setakat ini. Turut menyokong ialah Pemuda DAP dan Angkatan Muda Keadilan.
Perwakilan dari Tebrau, Shamsul Bakri berkata, pihaknya akan menyokong demonstrasi yang akan diadakan pada 3 Julai ini sambil mahu menetapkan pendirian bahawa akan menyertai mana-mana badan Islam yang menganjurkan bantahan sedemikian kelak.
“Saya minta Pemuda PAS dan PAS pusat mengeluarkan surat supaya seluruh rakyat agar turun untuk turut sertai (himpunan).
“Bukan sekadar judi sukan, (kita berdemonstrasi) sehingga mansuhkan segala judi di bumi ini,” kata beliau.
Usul dibentangkan oleh Ahmad Fadzli Shaari dari Dewan Pemuda PAS Pusat.
Perwakilan Jerlun, Abdul Rahim Jusoh menggesa agar usul ini wajib disokong oleh perwakilan bagi mendesak kerajaan memansuhkan lesen judi sukan.
Suasana di dewan persidangan Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Putik, Pengkalan Chepa dekat Kota Baru hari ini. — Gambar Choo Choy May
“Kalau ada desakan kita, Umno akan tunduk... Umno akan faham bahasa demonstrasi dan bahasa undi,” katanya.
Bagi melahirkan keseriusan pendekatan ini, katanya, mana-mana wakil rakyat yang tidak sertai demonstrasi bulan depan harus digugurkan daripada menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.
“Pemimpin yang tidak turun, akan (kita) turunkan dari pilihan raya umum akan datang,” kata beliau sambil menambah, “inilah isu (terbaik) untuk meraih sokongan orang Melayu.”
Kata beliau, memandangkan Selangor dan Kelantan ada menimbulkan soal PAS kemerosotan undi Melayu, isu lesen judi sukan merupakan peluang “untuk memperkukuhkan sokongan” yang didakwa menurun.
“PAS harus gunakan isu ini,” kata beliau.
Dalam pada itu, PAS juga meluluskan usul berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara.
Usul yang dibentangkan oleh Naib Presiden Salahuddin Ayub mengutuk tindakan kerajaan pusat yang menyerahkan kawasan minyak Blok L dan Blok M kepada Brunei awal tahun lalu.
Selain itu, usul tersebut juga mengecam tindakan yang didakwa merugikan rakyat dan negara ekoran keputusan pusat memberi hak milik tanah KTM Berhad seluas 271 hektar di Tanjong Pagar, Bukit Timah dan Woodlands kepada Singapura.
Usul tersebut juga mendesak kerajaan Malaysia memutuskan dengan segera kontrak dengan firma khidmat runding APCO demi keselamatan dan kedaulatan negara daripada diceroboh oleh Israel.
Usul pemerkasaan parti yang dibawa Dewan Ulama mahu PAS memastikan dasar dan prinsip perjuangan parti dipertahankan di samping mengukuhkan Pakatan Rakyat.
13 June 2010
Judi Bola - Peluang Terbaik PAS Tarik Sokongan Melayu
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment