Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa dia hanya pergi untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan dua hari selepas dia diliwat oleh ketua pembangkang itu.
Pada awalnya Saiful berkata dia pergi ke dua hospital swasta dan kemudian Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bekas pembantu Anwar itu berkata dia pada mulanya pergi ke Hospital Tawakal, Jalan Pahang di sini untuk membuat pemeriksaan doktor tetapi penyambut tetamu memberitahunya hospital itu beroperasi separuh hari dan tidak boleh membuat pemeriksaan.
Beliau kemudiannya pergi ke Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak, dan ketika itu beliau ditemani oleh bapa saudaranya bernama Tuah Mohd Ali, iaitu adik kepada arwah ibunya.
“Maka kemudian saya memutuskan untuk pergi ke hospital berhampiran, Hospital Pusrawi,” kata Saiful.
Saiful berkata di hospital itu, beliau telah berjumpa dengan Dr Mohd Osman Abdul Hamid dan memberitahunya beliau sakit perut dan sakit di dubur.
“Dr Mohd Osman telah meminta saya untuk membuka seluar dan beliau telah memasukkan sesuatu pada dubur saya dan pada masa itu saya telah berterus terang kepadanya bahawa saya telah diliwat dan mahu membuat pemeriksaan,” jelas Saiful.
Saiful berkata, Dr Mohd Osman terus memberhentikan pemeriksaan dan memintanya memakai seluar.
Ditanya Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden adakah beliau ada menanyakan mengapa pemeriksaan diberhentikan, Saiful berkata doktor berkenaan ada menjelaskan bahawa hospital itu tidak mempunyai kelengkapan membuat pemeriksaan forensik dan laporan perubatan hospital swasta tidak boleh digunakan di mahkamah nanti.
“Beliau seterusnya telah meminta saya mendapat rawatan di HKL. Saya ikut nasihatnya dan terus ke HKL.
“Pada mulanya saya tak tahu hendak ke mana, tapi secara logiknya saya pergi ke wad pesakit luar untuk mendaftar pukul 3 petang,” katanya.
Di HKL, Saiful berkata, dia dibawa ke wad kecemasan selepas memaklumkan bahawa dia telah diliwat.
“Jadi saya pergi bahagian pesakit luar dan saya bertemu seorang doktor wanita India tetapi oleh kerana saya rasa segan, dia merujuk saya kepada doktor lelaki di bilik sebelah. Nama dia ialah Daniel.
“Saya beritahu dia bahawa saya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Saiful.
Dr Daniel mengendalikan pemeriksaan fizikal.
Malah dalam keterangannya, Saiful juga memberitahu bahawa Dr Daniel agar terkejut dan menghantarnya ke Pusat Krisis Sepusat (OSCC) di wad kecemasan.
Dia menunggu kira-kira sejam sebelum seorang doktor India datang untuk memeriksa tekanan darah dan kemudian keluar.
Kira-kira setengah jam kemudian doktor itu datang dan memberitahu bahawa dia perlu membuat laporan polis sebelum hospital boleh menjalankan pemeriksaan untuk kes liwat.
Dua anggota polis mendampinginya di hospital untuk membantu mengisi laporan polis dengan memberikan beberapa borang.
Saiful menambah Superitenden Jude Pereira yang merupakan pegawai penyiasat kes ini datang kemudian untuk mengambil kenyataan manakala empat orang doktor HKL menjalankan pemeriksaan fizikal.
Perbicaraan akan disambung pukul 9.30 pagi esok.
Keluarga Anwar yang berada di galeri awam khususnya anak-anak perempuannya menunjukkan reaksi yang agak 'tidak selesa' ketika Saiful memberikan keterangannya.
Saiful, 24, ialah saksi pertama yang memberi keterangan apabila kes itu bermula semalam di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Pada awal sesi pagi ini, Saiful memberi keterangan secara tertutup selama 30 minit sebelum hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan serta Anwar, Saiful dan Zambri Idrus, peguam pemerhati bagi pihak Saiful, meninggalkan mahkamah pada 11.43 pagi untuk melawat kondominium, tempat kesalahan itu didakwa dilakukan.
Apabila perbicaraan disambung secara terbuka pada petang ini, Saiful menyambung keterangannya di mana beliau menyatakan pergi ke tiga hospital itu untuk mendapat rawatan.
Dalam pada itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Saiful memasuki kawasan Kondominium Desa Damansara pada hari kejadian dia mendakwa diliwat oleh majikannya itu.
Ketika rakaman dipertontonkan di mahkamah, Saiful mengesahkan bahawa orang dalam rakaman itu adalah dirinya.
Rakaman CCTV itu menunjukkan Saiful memasuki lif untuk ke aras lima dan kemudian meninggalkan aras itu juga dengan menaiki lif.
Dia dilihat menuju ke aras lima pada pukul 2.47 petang dan kemudian keluar pukul 4.14 petang.
Bagaimanapun rakaman yang menunjukkan Saiful masuk dan keluar kondominium itu tidak dapat dipertontonkan ekoran masalah teknikal pada komputer.
Saiful menyambung keterangannya petang ini dengan prosiding dibuka kepada umum.
Prosiding pagi tadi diadakan secara tertutup.
Terdahulu hakim yang mengendalikan perbicaraan ke liwat Anwar, hari ini meluangkan masa satu jam untuk memeriksa unit kondominium, tempat didakwa berlakunya perbuatan itu pada 2008.
Anwar, dan Saiful turut hadir apabila Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memeriksa apartmen dua bilik tidur itu yang terletak di tingkat lima.
Saiful menunjukkan kepada hakim tempat Anwar duduk di ruang tamu apabila dia datang untuk menghantar dokumen dan bilik tidur utama di mana kejadian liwat itu berlaku selepas itu.
Semasa pemeriksaan itu, Mohamad Zabidin dilihat bertanya beberapa soalan kepada Saiful.
Terdapat sebuah katil kelamin di bilik tidur utama di mana tingkapnya ditutupi langsir warna kelabu gelap. Langsir berwarna serupa juga terdapat di ruang tamu yang juga terdapat sofa kulit berwarna pudar.
Di ruang makan, terdapat sebuah meja makan untuk enam orang.
Anwar meninggalkan tempat itu selepas pemeriksaan di bilik tidur utama.
Anwar, 63, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan. Perbicaraan dijalankan selepas 18 bulan Anwar dihadapkan dengan tuduhan itu.
Dari apartmen itu, hakim dan Mohd Saiful pergi ke pejabat pengurusan kondominium itu untuk memeriksa kemudahan CCTV.
Lawatan itu diadakan selepas Saiful menyambung keterangannya secara tertutup pagi tadi di Mahkamah Tinggi yang terletak berhampiran.
Konvoi 10 hingga 15 kenderaan berlepas dari Mahkamah Tinggi pada 11.43 pagi termasuk pegawai mahkamah, kesemua anggota pasukan pendakwaan dan juga pasukan pembelaan yang diketuai Karpal Singh.
Saiful, yang memakai sut kelabu gelap dan kemeja putih, diiringi peguam Zamri Idrus yang bertindak sebagai peguam pemerhati baginya.
Sejurus tiba, Saiful menunjukkan kepada Hakim Mohamad Zabidin, tempat dia meletakkan keretanya pada hari kejadian dan lif yang digunakannya untuk ke apartmen itu.
Kira-kira 50 anggota polis ditugaskan berkawal di kawasan kaki bukit kondominium itu yang terletak di kawasan perumahan bango dan apartmen eksklusif.
Kondominium itu terletak kira-kira tiga hingga empat minit perjalanan dengan kenderaan dari rumah lama Anwar di Bukit Damansara.
Lelaki tolong polis kena belasah semasa gunting rambut
16 minutes ago
2 Komen :
tuan, add kan link pemuda : www.paspengkalanarang.blogspot.com
Salam..
paspengkalanarang.blogspot.com telah dimasukkan ke bloglist 5. Harap maklum dan terima kasih jika Tuan juga berbuat demikian pada blog tuan..
Post a Comment