ISLAM PENGGANAS?
Orang Islam akan melenting kalau dituduh "pengganas" atau "ekstremis". Orang Islam melompat kalau dikaitkan dengan kejadian merampas kapalterbang, meletupkan pusat hiburan atau meletupkan diri seperti yang berlaku di luar negara. Begitulah marahnya orang Islam kalau dikaitkan dengan perkataan-perkataan tersebut; lebih-lebih lagi sekiranya yang menggunakan istilah itu ialah orang Barat dan bukan Islam.
Berbuih mulut orang Islam membaca ayat Quran dan hadis bagi berhujah mengatakan Islam agama perdamaian dan keamanan.
Walaupun orang Islam memprotes, media Barat tidak berhenti. Orang Islam terus diberikan label sebagai "pengganas." Kita menonton berita dan hiburan Barat yang menampilkan orang Islam dengan imej sedemikian. Akhirnya, minda tanpa sedar kita juga "menerima" bahawa orang Islam adalah pengganas, walaupun mulut kita berkata sebaliknya.
Apabila gereja di Kuala Lumpur dibakar, maka satu kelompok orang Islam menuduh kelompok orang Islam lain yang membakarnya. Nah, tatkala itu mereka terperangkap dengan minda separuh sedar yang mengaitkan orang Islam sebagai pengganas.
Oleh kerana minda tanpa sedar ini berfungsi seiringan dengan rasa kebencian terhadap kelompok politik tertentu, maka orang Islam tanpa ragu-ragu membuat tuduhan itu kepada saudara seagamanya. Tanpa rasa bersalah. Pihak berkuasa belum menjalankan apa-apa siasatan dan kes itu belum pun sampai 24 jam, orang Islam sudah bersorak bahawa orang Islam lain adalah pengganas -- membakar gereja.
Cukup malang, sebahagian kita sudah tidak mampu berfikir lebih dari itu. Minda kita sudah terperangkap. Saya percaya sekiranya kita melakukan sesi brainstorming bagi menganalisis kemungkinan pihak-pihak yang melakukan perbuatan keji itu, saya fikir kita boleh mengaitkannya dengan pelbagai individu atau kumpulan sama ada dalam atau luar negara. Apakah mereka melakukannya atau tidak, itu soal lain. Sekurang-kurangnya minda sedar kita tidak secara wewenang mengaitkan orang Islam yang berlainan ideologi politik dengan kejadian itu.
Sekiranya kita masih berfikir dengan kepompong sempit itu, tak perlulah salahkan orang lain. Usah protes kalau media Barat mengatakan orang Islam pengganas!
NOBISHA
Ibu biar budak 5 tahun pandu kereta
52 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment