BlogList Malaysia

17 January 2010

Jakim Tolak Penubuhan Majlis Antara Agama Cadangan TPM

Penubuhan majlis rundingan antara agama dikuatiri hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik yang membimbangkan serta gagal mencapai matlamat asalnya iaitu bagi membolehkan wakil agama berbincang dan mencari kesefahaman berhubung pelbagai isu pada masa depan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan langkah yang mungkin diambil oleh kerajaan itu.

"Saya tidak begitu setuju dengan cadangan berkenaan kerana dengan penubuhannya mungkin akan menimbulkan lebih banyak masalah mengenai isu-isu agama," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan serius memikirkan penubuhan majlis perundingan antara agama bagi membolehkan wakil agama berbincang dan mencari kesefahaman berhubung pelbagai isu pada masa depan.

Muhyiddin dilaporkan berkata penubuhan majlis itu perlu disegerakan berdasarkan situasi semasa yang mana isu mengenai agama sering dibangkitkan sejak kebelakangan ini.


Wan Muhammad sebaliknya menegaskan agar kerajaan seharusnya memberi lebih tumpuan kepada usaha menganjurkan majlis dialog antara agama yang disifatkan sebagai platform terbaik dalam menangani isu-isu berkaitan agama.

"Program dialog antara agama patut digalak dan diperluaskan namun satu garis panduan yang jelas perlu disediakan.

"Sebagai contoh penyertaannya mestilah orang yang mewakili sesebuah organisasi ataupun institusi agar ia menjadi forum ilmiah dan harmoni," katanya.

Bagaimanapun Wan Muhammad berkata, pemantauan yang rapi juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan majlis dialog yang dianjurkan terpesong daripada matlamat asalnya.

"Ini bukan medan untuk para aktivis yang lazimnya terpengaruh dengan budaya konflik... ia juga bukan medan untuk mencabar Perlembagaan," katanya.

Isu ini timbul apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Bagaimanapun, pada 6 Januari lalu, Lau membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan awalnya sementara menunggu Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuan menteri.

Isu kalimah Allah itu berlarutan hingga berlakunya insiden melontarkan bom petrol di beberapa buah gereja di Lembah Klang sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas