Polis sedang menyiasat dua kejadian membakar gereja dengan sengaja di Lembah Klang pada awal pagi ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Dua buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya.
"Kereta-kereta peronda polis dan anggota-anggota polis telah ditempatkan di semua gereja di seluruh negara, terutamanya di Lembah Klang untuk mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini," katanya kepada The Star di sini hari ini.
Musa turut memberi amaran kepada pihak terbabit yang merancang untuk mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan hari ini bagi memprotes penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan beragama Islam.
"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras terhadap mereka," katanya.
Pada 12.30 pagi ini, sekumpulan pemuda membaling bahan-bahan mudah terbakar ke arah tingkat bawah gereja The Metro Tabernacle yang terletak pada sebuah lot kedai.
Tiada sebarang kecederaan kerana gereja itu kosong pada waktu kejadian.
Insiden tersebut dipercayai berlaku apabila sekumpulan pemuda menunggang motosikal ke gereja itu, memecahkan panel gelas di tingkat bawah bangunan tiga tingkat itu dan seterusnya membaling bahan-bahan tertentu ke dalam premis itu sebelum terbakar.
Ketua gereja Mejar (B) Peter Yeow, 62, berkata saksi-saksi tidak dapat mengecam wajah pemuda-pemuda tersebut yang melarikan diri selepas insiden itu kerana berada jauh dari tempat kejadian.
Saksi-saksi kemudiannya menghubungi polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba beberapa minit untuk memadamkan api.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan insiden itu.
Dipercayai koktel molotov dibaling ke dalam gereja itu. Ku berkata polis menyiasat insiden itu dari segenap sudut.
Kemudian, pada pukul 4 pagi, koktel-koktel molotov dilontarkan ke gereja The Assumption tetapi difahankan tidak mendatangkan kerosakan.
2 lemas, 1 hilang mandi laut di Papar
20 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment