BlogList Malaysia

30 November 2009

Selangor anjur forum pertahan keputusan larang sertai BTN

Selangor akan menganjurkan satu forum khas mengenai Biro Tata Negara (BTN) bagi membolehkan masyarakat umum menilai sendiri kewajaran langkah kerajaan negeri melarang penyertaan dalam program anjuran biro itu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau mengambil langkah itu susulan kritikan daripada menteri-menteri Barisan Nasional yang mempertahankan program dan kursus BTN.

“Bekas peserta, pensyarah dan pihak lain (yang berkaitan) akan dijemput untuk berkongsi pengalaman mereka,” kata beliau di sini hari ini.

Kata beliau, sekiranya kerajaan pusat cuba mengharamkan forum ini, ia bermakna memang ada sesuatu yang tidak kena.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan sntarabangsa mengenai ‘Urban Regeneration’ di sini hari ini, beliau berpuas hati kerana ketika ini rata-rata kalangan orang ramai mulai membincangkan mengenai kualiti dan nilai kursus-kursus BTN.

Katanya, beliau tidak pernah membantah sebarang program yang bertujuan menyemai semangat nasionalis dan patriotik di kalangan rakyat.

“Apa yang kami pertikaikan ialah kandungan serta penyampaian program BTN ini, dan sejak akhir-akhir ini kandungannya dikatakan mulai berat sebelah, di samping tidak mencapai objektif untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sudah tiba masanya, bukan hanya silibus BTN sahaja yang didedahkan kepada umum, malah latar belakang seperti kelayakan para pensyarah kursus itu sendiri perlu diumumkan kepada orang ramai.

Rabu lalu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia Selangor Dr. Halimah Ali berkata petugas kerajaan negeri Selangor serta para pelajar institusi pengajian milik kerajaan negeri tidak dibenarkan menjalani kursus-kursus BTN berkuat kuasa serta merta.

Langkah itu diambil selepas kerajaan negeri melihat kursus berkenaan sebagai satu proses doktrinisasi oleh kerajaan Barisan Nasional bagi mewujudkan rasa benci terhadap pembangkang.

Tindakan itu mengundang reaksi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta lain-lain menteri seperti Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang tampil mempertahankan kursus BTN itu.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas