Mustahil isu "Kerajaan Perpaduan" (Unity Government) dibubuh noktah hanya dengan Seminar Politik yang bakal dianjurkan PAS pada 7 Novermber ini.
Ini kerana Kerajaan Perpaduan adalah "godaan" UMNO yang tidak akan berakhir -- setelah diumumkan "tutup pintu", diusik pula dengan "tidak berkunci"; biarpun jika ada yang balas "tutup dan berkunci", tidak hairan kalau ada yang berkata "kunci ada di tangan Presiden"... Walau "kunci itu diserah kepada Mursyidul Am" sekalipun, jawapannya mungkin "Presiden masih simpan kunci spare"...
Sememangnya, usikan daripada musuh politik tidak harus dipersalahkan ke atas pemimpin PAS. Persoalannya, mengapa keraguan dan kesangsian masih dan tetap wujud, walaupun sudah berkali-kali Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berjanji untuk bersama Pakatan Rakyat?
Mustahil PAS gagal menangkis serangan UMNO
Mustahil pucuk pimpinan PAS gagal menangkis serangan retorik UMNO, jika mengimbas kembali "sejarah permusuhan" antara UMNO dengan PAS, yang jelas jauh lebih panjang berbanding UMNO-PKR. Namun, persepsi masyarakat umumnya menganggap PAS gagal menonjolkan perbezaaan antara dirinya dengan UMNO ketika berdepan dengan retorik "perpaduan umat Melayu-Islam" selepas 8 Mac 2008.
Adalah tidak adil sekiranya dikatakan keseluruhan pimpinan PAS terikut-ikut dengan rentak UMNO, dan "kelihatan jahil" kerana tidak menyedari percaturan politik UMNO. Buktinya, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad pernah menyeru dalam Muktamar ke-55 agar PAS mengambil iktibar dari sejarah Islam, supaya tidak terperdaya dengan muslihat musuh untuk melaga-lagakan pemimpin PAS, yang bakal berakhir dengan kehancuran PAS sendiri.
Malah, Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Perak, Mohd Nizar Jamaluddin (gambar atas) bertungkus-lumus memberi ceramah, menyeru agar rakyat bersama "menjahanamkan UMNO", mendedahkan betapa kejam dan zalimnya pemerintahan UMNO-BN yang tidak sama sekali diterima PAS-PR.
Jadi, masalah persepsi ini sebenarnya wujud kerana pucuk pimpinan peringkat tertinggi gagal menunjukkan pendirian yang jelas.
Kredibiliti pemimpin PAS dipertikai
Setelah pertemuan sulit UMNO-PAS didedahkan, dan mencungkil polemik setelah dikesahkan, Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS mengeluarkan kenyataan yang dibaca oleh Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa pada 17 Julai 2008, menegaskan pendirian PAS untuk terus bersama dengan PR, "dalam suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi".
Namun, selepas "kerajaan campuran bersama UMNO di Selangor" digagalkan, Hadi Awang (gambar kiri) mencetus polemik baru dengan idea "kerajaan perpaduan", dalam satu wawancara bersama akhbar Siasah, yang disiarkan pada bulan Mac 2009. Perbincangan "Kerajaan Perpaduan" itu kemudiannya ditangguhkan oleh Hadi Awang sendiri pada April 2009, dengan alasan bahawa cadangan tersebut ditawarkan dalam zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, dan bukan Najib Razak.
Secara dramatiknya, idea "Kerajaan Perpaduan" ini ditimbulkan semula dalam sidang media selepas Presiden PAS merasmikan Muktamar ke-55, pada 5 Jun 2009. Keadaan bertambah serius kali ini, apabila Hadi Awang mendakwa bahawa parti komponen PR turut menerima dan memberi reaksi yang positif terhadap konsep ini.
Kewibawaan dan kredibiliti Hadi Awang terhakis apabila Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjelaskan bahawa DAP tidak pernah dimaklumkan tentang idea ini, apatah lagi menyetujuinya. Hadi menerima tamparan kedua, apabila Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali turut secara terbuka tidak menyetujui idea Kerajaan Perpaduan yang membabitkan UMNO.
Situasi sedemikian mengundang krisis kredibiliti dan kewibawaan bukan sahaja kepada Hadi Awang secara individu, malah PR secara keseluruhannya. Yang pasti, antara pemimpin DAP, PKR dengan PAS yang tersebut di atas, salah satu pihak yang berbohong dalam isu ini. Biarpun pertikaian yang melibatkan PR ini diketepikan, persoalan tetap wujud-- Sampai bilakah idea Kerajaan Perpaduan ini diiklan seumpama biskut Oreo, sekejap ada sekejap tiada?
Masalah kredibiliti ini bukan sahaja berlaku pada Presiden, namun juga orang nombor dua dalam parti. Nasharuddin Mat Isa (gambar kanan), antara watak yang dipertikaikan, pernah mendakwa bahawa perjumpaan dengan UMNO atas keputusan Majlis Syura Ulama pada 13 Ogos 2008 (laporan Malaysiakini), bertukar kenyataan empat hari kemudian, apabila mengaku bahawa "perjumpaan pertama" tidak sempat diberitahu kepada Majlis Syura Ulama (laporan Malaysiakini).
Baca seterusnya di sini
0 Komen :
Post a Comment