Ketika PKR disindir dengan gelaran bateri 3A (Azizah, Anwar dan Azmin), dibincangkan peranan tiga anak Ibrahim (Anwar, Khalid dan Zaid), PAS yang tidak ketinggalan dengan tiga anak Ali-nya (Hasan, Mustaffa dan Ibrahim) pula dihantui dengan 3U (UMNO, Utusan Malaysia dan Unity Government).
Isu Kerajaan Perpaduan (Unity Government, UG) terus diajukan terhadap PAS melalui media cetak arus perdana, terutamanya Utusan Malaysia dan Berita Harian, walaupun Presiden Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa PAS telah menutup pintu rundingannya dengan UMNO.
Misalnya, dalam satu rencana berjudul Pas sedia korban prinsip perjuangan demi pakatan (m/s19, Berita Harian, 3 November2009), diakhiri dengan memetik hujah "seorang pemimpin PAS" yang berbunyi, "Bagi saya, walaupun dikatakan pintu rundingan dengan UMNO sudah tutup, tapi ia masih 'belum dikunci'. Kami tahu, persoalan yang bermain di fikiran pengikut setia Pas hari ini ialah apa akan berlaku jika Nik Aziz 'tidak ada' lagi nanti."
Muktamar Khas Luar Biasa
PAS mungkin keberatan untuk mengangguk kepada cadangan Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya mengadakan Muktamar Khas Luar Biasa, setelah melihat pengalaman MCA yang tidak habis-habis bergelut dalam kemelut sehingga hari ini.
Namun demikian, EGM mahupun kemelut MCA hari ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan situasi PAS. Kemelut MCA berpunca daripada kekurangan sumber selepas parti itu dibadai tsunami pada 8 Mac 2008. Perselisihan antara pemimpin bukan kerana pertembungan idea, tetapi pertentangan kepentingan. Buktinya, dua pemimpin tertinggi yang saling berbalah itu sanggup berganding setelah menyedari bahawa diri mereka saling memerlukan untuk meneruskan survival politik masing-masing.
Sebaliknya, pergelutan PAS adalah pertembungan antara dua (atau lebih) idea yang menentukan hala tuju parti itu pada masa depan. Persoalan yang terpampang di depan adalah pemilihan antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional untuk dijadikan pakatan politiknya.
Sememangnya, perhitungan kepentingan seperti kuasa (jawatan dalam kerajaan) dan sumber akan diambil kira oleh pucuk pimpinan PAS ketika membuat pilihan, dan ia sesuatu yang wajar dalam politik. Namun, pertimbangan tersebut tidak boleh terbatas sekadar kepada kepentingan jangka pendek, malah juga perlu melihat kepada kepentingan jangka panjang dan idealisme perjuangannya.
Pemimpin PAS terbelenggu
Dan di sinilah terperangkapnya PAS selepas tsunami politik 8 Mac 2008, membuka ruang seluas-luasnya kepada UMNO untuk menangguk di air keruh. Bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi membuat kejutan pada pertengahan Julai 2008, apabila mengesahkan bahawa pertemuan sulit diadakan antara pimpinan peringkat tertinggi UMNO- PAS untuk membincangkan penubuhan kerajaan campuran di Selangor selepas PRU ke-12.
Motif pendedahan ini cukup jelas, apabila Muktamar PAS pada Ogos 2008 menyaksikan bagaimana perwakilan merungut bahawa PAS terpinggir dalam kerajaan negeri yang dikuasai PR. Apa yang dikeluhkan secara tersurat adalah bagaimana PAS tidak dihargai parti komponen PR; namun apa yang dipendamkan secara tersirat adalah bagaimana Hasan Ali (Pesuruhjaya PAS Selangor, gambar kiri) terpaksa memberi laluan kepada Khalid Ibrahim (dari PKR) untuk menyandang jawatan Menteri Besar Selangor, kerana keputusan peringkat pusat untuk bersama PKR dan DAP.
Cubaan pertama UMNO gagal memecah-belahkan PR, sekadar berjaya mencetuskan polemik, sebelum Anwar Ibrahim turun ke gelanggang untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Apabila Anwar Ibrahim menumpaskan UMNO dengan majoriti yang lebih besar, maka PAS memilih untuk "bersama harapan ke Putrajaya", daripada "bersama kemungkinan UMNO tenggelam pada 16 September".
Tetapi, cadangan "kerajaan campuran" menjelma semula dalam idea "kerajaan perpaduan" dan sebagainya, setelah harapan Anwar Ibrahim ke Putrajaya berkecai.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.
0 Komen :
Post a Comment