BlogList Malaysia

21 September 2009

Tragedi Sayu Di Pagi Aidil Fitri

Abang meraung kejar kereta seret adik

KUALA TERENGGANU: Raungan seorang abang berusia tujuh tahun yang berlari mengejar kereta yang menyeret adiknya dan kemudian memangku sambil memanggil berulang kali nama adiknya yang terkulai layu dalam kejadian tragis di Kampung Raja, Tepuh pagi tadi meruntun hati setiap mereka yang menyaksikannya.

Selepas melihat adiknya, Cheku Mohd Afiq Cheku Mazlan, 5, terseret, Cheku Idris, 7, bertindak mengejar kereta Proton Saga terbabit.

Seorang saksi yang juga bapa saudara mangsa, Che Wan Ibrahim Che Ngah, 54, yang terkejut mendengar dentuman kuat di hadapan kedainya berkata, laungan sayu abang mangsa memanggil `adik...adik...' berulang kali sambil memeluk mangsa yang sudah tidak bernyawa begitu sedih dan memilukan.

"Ia berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika saya sedang melayan tetamu yang datang beraya di kedai saya terletak betul-betul di hadapan tempat kejadian.

"Saya tak nampak bagaimana ia berlaku tetapi hanya melihat si abang meraung sambil menangis memangku adiknya yang sudah terkulai...ketika itu baru saya tahu rupanya mangsa terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta yang meninggalkan tempat kejadian.

"Sesiapa saja yang menyaksikan kejadian itu memang tidak dapat menahan kesedihan," katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Bapa mangsa, Cheku Mazlan Cheku Ahmad, 42, ketika ditemui, berkata beliau sangat terkejut dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

"Dia sebelum ini tak pernah pergi mengikut abangnya ke kedai...mungkin sudah 'janjinya' dia bertindak begitu kerana sebelum kemalangan berlaku dia dikatakan beriya-iya mahu mengikut abangnya ke kedai," katanya.

Jenazah mangsa dituntut ahli keluarga kira-kira jam 2.30 petang tadi selepas bedah siasat untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Trafik dan Kententeraman Awam Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Faudzi Mohamad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan disasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.-bernama

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas