BlogList Malaysia

20 September 2009

Musibah Menjelang Aidil Fitri

KOTA BHARU - Kegembiraan empat keluarga menyediakan persiapan untuk menyambut Hari Raya yang hanya tinggal beberapa hari lagi musnah setelah semua kelengkapan baru mereka hangus dalam kebakaran semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu empat keluarga melibatkan 27 penghuni terpaksa tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka terbakar di Kampung Kedai Buloh.

Empat keluarga yang terlibat ialah, Norizan Mohd Zain, 47, Mohd Zain Awang, 72, Wan Fatimah Yaakob, 60, Muhammad Nor Yusof, 65 termasuk seorang ibu tunggal, Rosnah Yusof, 30.

Mangsa, Norizan yang mendiami rumahnya lebih 40 tahun itu bersama suami dan tujuh anak serta lima cucunya ketika ditemui memberitahu, semasa kejadian dia tiada di rumah menyebabkan semua persiapan hari raya tidak dapat diselamatkan.

“Saya baru sahaja membeli baju baru dan kuih muih untuk menyambut hari raya bersama anak serta cucu-cucu tetapi malangnya semua itu tidak dapat diselamatkan kerana ia hangus dalam sekelip mata sahaja.

“Lebih menyedihkan lagi wang sumbangan yang diberikan kepada keluarga saya kira-kira RM2,000 untuk kegunaan Hari Raya juga turut terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Muhammad Nor Yusof berkata, ketika kejadian dia berada di bandar Kota Bharu untuk menggunting rambut untuk Hari Raya nanti dan terkejut setelah menerima panggilan daripada jiran-jiran memberitahu rumahnya terbakar.

“Saya juga tidak dapat menyelamatkan apa-apa pun termasuk dokumen penting kerana tiada penghuni di rumah, malah almari dan televisyen yang baru dibeli seminggu lalu turut menjadi mangsa.

“Hasrat saya untuk menyambut Syawal dengan anak-anak dan cucu di rumah ini pada tahun ini tidak menjadi kenyataan kerana semuanya sudah menjadi abu dan saya redha dengan ujian Ilahi” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, usaha seorang warga emas, Mohd Zain untuk menyelamatkan rumah jirannya iaitu Norizan daripada terbakar juga tidak berhasil kerana api marak dengan cepat dan menyebabkan tiga lagi rumah berdekatan menjadi mangsa.

“Saya melihat api keluar dari sebuah bilik di rumah Norizan dan berlari untuk memadamnya tetapi saya terpaksa berundur kerana keadaannya tidak selamat untuk saya meredah masuk kerana api merebak dengan cepat.

“Saya menjerit meminta tolong dan menyuruh isteri saya yang ketika itu berada di dalam rumah supaya keluar dan menyelamatkan dokumen penting, sementara itu saya mengangkat baju-baju yang berada berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Fatimah yang juga pengusaha keropok turut bersedih kerana wang yang baru dipinjamkan dari Amanah Ikhtiar Malaysia kira-kira RM2,000 untuk perniagaannya bagi pengeluaran produk ketika Hari Raya juga hangus dalam kebakaran itu.

“Ketika kejadian saya hanya mampu melihat api meranapkan rumah saya dan jiran-jiran malah tidak dapat berbuat apa-apa pun kerana terkejut dengan kejadian ini.

“Bukan setakat wang pinjaman sahaja yang hangus tetapi kelengkapan hari raya juga terbakar,” katanya.

Kesemuanya mangsa kebakaran mengambil keputusan untuk menetap di rumah saudara mara untuk sementara waktu dan menyambut Hari Raya dengan sederhana.

Sementara itu di Machang, sepasang warga emas terpaksa beraya sehelai sepinggang apabila rumah milik mereka di Kampung Cherodok musnah dalam kebakaran, pagi semalam.

Mujurlah ketika kejadian, mangsa, Fatimah Mamat, 79, dan suaminya, Abdullah Hussin, 80, yang sudah uzur itu tiada di rumah.

Kata Fatimah, sebelum kejadian dia menghantar suaminya ke hospital kira-kira jam 930 pagi dan apabila pulang kira-kira jam 11 pagi, dia melihatnya rumahnya sudah musnah terbakar.

“Semuanya telah lenyap sekelip mata. Inilah saja yang tinggal (sambil memegang pakaian di badannya). Sedih tu memanglah sedih namun Mak Teh redha. Nak buat macam mana Tuhan telah tentukannya. Nasib baik kami tiada di rumah kalau tidak entahkan sempat lari ke tidak. Kami ini dah terlalu uzur.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas