Maut rumah tengah bendang dihujani peluru skuad elit
TEMANGGUNG: Suspek pengganas warga Malaysia, Noordin Mohd Top sempat menjerit meminta tolong ketika rumah tempat persembunyiannya di sebuah kampung di Jawa Tengah dihujani peluru yang ditembak skuad elit antipengganas polis Indonesia.
Maklumat yang diperoleh daripada unit antipengganas, Detasemen Khusus 88 Antiteror (Densus) mengesahkan yang maut dalam serbuan itu adalah Noordin.
Menurut maklumat yang diperoleh Noordin mula menginap di rumah seorang yang bernama Mozahri Selasa lalu. Dia dibawa ke rumah itu oleh Mozahri dari Jepara, Jawa Tengah.
Ketika polis menyerbu rumah di tengah-tengah sawah padi itu, hanya Noordin seorang diri di rumah itu kerana Mozahri dan dua anak saudaranya Arif (38) dan adiknya, Hendra (34), sudah ditangkap sehari sebelumnya oleh polis.
Sumber polis berkata, Noordin sempat berteriak meminta tolong ketika anggota Densus meledakkan bilik sisi kanan rumah berkenaan.
Bagaimanapun, polis tidak menghiraukan teriakan itu. Bahkan terus menghujani rumah itu dengan peluru kerana bimbang teriakan itu hanya satu helah.
Berikutan tembakan oleh polis itu, Noordin melarikan diri ke bilik mandi di belakang rumah. Sekitar jam 7.50 pagi semalam, polis kembali meledakkan bom yang diletakkan di tepi kanan rumah. Ini dilakukan untuk membuka ruang gerak bagi penembak.
Pada ketika itu, kedudukan Noordin semakin tersepit apabila tembok yang memisahkan di antara ruang tengah dan kamar sisi kanan juga berlubang sama sekali.
Noordin akhirnya ditemui terbunuh ditembusi peluru ketika bersembunyi di dalam bilik mandi. - Agensi
0 Komen :
Post a Comment