BlogList Malaysia

31 August 2009

Ibrahim Katak @ Lembu Terlebih Umno Dari Umno

Sivakumar layak kena ESCAR - Perkasa
Tindakan tegas menggunakan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-kes Keselamatan) 1975 (ESCAR) adalah selayaknya bagi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perbuatan Sivakumar dengan mengeluarkan arahan untuk mengadakan sidang DUN Perak Rabu ini tanpa perkenan jelas merupakan penderhakaan terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Tegas beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak termasuk Speaker barunya, Datuk R. Ganesan adalah sah secara demokrasi setelah diputuskan oleh baginda dan mahkamah.

"Ini bermakna perbuatan Sivakumar itu selain mencabar dan menderhaka kepada Sultan Azlan Shah kerana tidak terlebih dahulu mendapat perkenan baginda, beliau juga telah mencabar keputusan mahkamah itu.

"Selayaknya Sivakumar dikenakan tindakan mengikut ESCAR atau mana-mana peruntukan yang sewajarnya kerana perbuatan beliau itu jelas akan menghuru-harakan negeri serta tidak menghormati keluhuran Perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Sivakumar yang masih menganggap dirinya sebagai 'speaker' apabila menghantar surat kepada semua ADUN untuk memanggil sidang DUN Rabu ini.

Sehubungan itu, Ganesan telah membuat laporan polis meminta pihak berkenaan menyiasat segera dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Sivakumar.

Peruntukan di bawah Artikel 36 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyebut kuasa memanggil sidang DUN adalah merupakan kuasa mutlak Sultan Perak.

Sementara itu, Peruntukan ESCAR pernah digunakan untuk mendakwa 29 anggota Al-Maunah pada 2000 yang merancang untuk mengkhianati negara dengan menentang kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Bagaimanapun dalam kes itu, pendakwaan dibuat secara terbuka mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah atau Yang Dipertua Negeri yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Bekas Peguam Negara pada masa itu, Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa berperang dalam konteks Kanun Keseksaan hanya merupakan istilah teknikal perundangan yang bermaksud perbuatan khianat terhadap sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Sivakumar sebagai 'bidak' kepada kepentingan politik pihak lain.

"Sebagai bidak, Sivakumar hanya bergerak di atas arahan dan keuntungan politik sempit pihak tertentu. Kita tidak boleh tunduk dengan individu 'hilang akal' begini.

"Sekiranya Sivakumar seorang yang bertanggungjawab, dia perlu berhenti daripada terus diperbudakkan demi kepentingan politik orang tertentu.

"Kita percaya majoriti rakyat Perak sudah bosan dengan 'permainan politik murahan' seperti ini." katanya.

Tambah Reezal Merican, polis perlu mengambil tindakan tegas sekiranya sidang DUN Rabu ini tetap diteruskan mengikut Akta Polis yang membenarkan tangkapan dibuat apabila perhimpunan secara haram tanpa permit dilaksanakan.

Mengulas isu sama, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perbuatan Sivakumar amat melampau dan melepasi had kesabaran orang Melayu di negara ini.

Tegas beliau, perbuatan itu bukan sahaja telah menghina institusi beraja di negara ini tetapi telah meninggalkan titik hitam kepada ketaatan dan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan.

"Seharusnya hukuman berat harus diambil terhadap penderhaka ini," katanya.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas