Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggalakkan rakyat Malaysia yang berkemampuan agar lebihkan bersedekah sempena bulan Ramadan yang dikenali sebagai "bulan untuk bersedekah" kepada mereka yang memerlukan.
"Adalah wajar bagi mereka yang berkemampuan memenuhi tanggungjawab mengagihkan rezeki yang diperolehi untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi pada masa ini," katanya dalam laman web www.1malaysia.com.my.
Najib berkata: "Kegawatan ekonomi telah mengundang musibah yang membebani ramai daripada rakan taulan dan jiran kita.
Fikirkan manfaatnya jika kita berusaha untuk mengembangkan sifat dermawan tersebut di sepanjang tahun.
Perdana Menteri yang turut mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa kepada semua umat Islam berkata: "Ramadan adalah juga waktu untuk meningkatkan kerohanian dan persaudaraan yang hebat, begitu juga dengan Malaysia yang mampu menjadi negara yang bebas dari kemiskinan jika kita komited untuk melakukannya".
Najib turut menyanjungi kemesraan dan keakraban yang dikongsi oleh semua rakyat Malaysia pada bulan Ramadan di mana rakan-rakan Cina dan India turut menikmati waktu berbuka puasa bersama-sama
"Sama ada bersesak-sesak di gerai-gerai makanan, di rumah atau makan malam di salah satu bufet yang banyak terdapat di mana-mana sahaja, mereka yang bukan Islam di seluruh Malaysia berkongsi keramahan rakan Muslim mereka," katanya.
Perdana Menteri berkata apa yang amat menyentuh perasaannya ialah sikap bukan Islam yang hormat menanti waktu azan dilaungkan dan solat dilakukan sebelum mula menjamu selera.
"Ini adalah contoh yang baik bagaimana menghargai dan meraikan kekayaan kepelbagaian etnik dan kepercayaan agama di Malaysia dan perpaduan kita sebagai satu bangsa," katanya .
Najib berkata pada Ramadan kali ini beliau merancang untuk berbuka puasa bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh negara.
"Berkumpul beramai-ramai dengan perasaan muhibah itulah yang sentiasa kita jaga dan hargai, namun janganlah sampai kita lupa akan makna sebenar Ramadan kepada setiap Muslimin.
"Kita memohon ke hadrat Allah s.w.t agar membimbing kita ke arah amalan yang terbaik dan agar menerima ibadah dan puasa kita," katanya dan menambah kata bagi umat Islam ini adalah peluang untuk memperlihatkan semangat Islam yang sebenar kepada rakan-rakan bukan Muslim. BERNAMA
Wanita warga emas pakai tangkal halau jin
6 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment