Senator Australia ditahan di LCCT, tunggu deportasi
Senator Australia Nick Xenophon telah ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan sedang menunggu untuk deportasi kerana didakwa menjadi "musuh negara".
Xenophon, yang tiba di KLIA awal pagi ini, ditahan pihak imigresen sejak beberapa jam yang lalu.
Xenophon memberitahu akhbar Sunday Mail Australia bahawa beliau sedang ditahan di kawasan dengan semua sel tahanan penuh dengan wanita.
Katanya, beliau dimaklumkan yang beliau merupakan "musuh negara" dan akan dihantar menaiki penerbangan berikutnya untuk pulang ke negaranya.
Menurut senator itu, walaupun tidak dibenarkan membuat sebarang panggilan telefon, tetapi beliau sempat menghubungi akhbar Australia itu ketika ditinggalkan bersendirian dalam bilik soal siasat.
Xenophon dijadualkan untuk bertemu dengan ahli-ahli parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengenai isu-isu pilihan raya.
Tiga lagi ahli politik Australia dijadual menyertai Xenophon dalam satu delegasi mencari fakta. Mereka ialah MP Mal Washer, Senator John Williams, dan MP Steve Georganas.
Bagaimanapun, mereka belum berlepas ke Malaysia. Tidak pasti sama ada mereka akan menimbang semula rancangan ke negara ini ekoran perkembangan terbaru itu.
Xenophon menghadiri perhimpunan BERSIH 3.0 tahun lepas sebagai pemerhati antarabangsa dan turut menjadi sasaran gas pemedih oleh polis anti-rusuhan, yang menyuraikan peserta demonstrasi menuntut reformasi pilihan raya itu.
'Arahan dari atas'
Xenophon memberitahu ABC News 24 Australia bahawa beliau tidak menjangka akan ditahan semasa ketibaannya di Kuala Lumpur.
Katanya, pegawai imigresen berkenaan "sangat sopan" tetapi mereka memberitahunya bahawa mereka menerima "arahan dari atas" untuk menahannya.
"Saya mendapatinya luar biasa. Saya pernan ke sini sebelum ini [dan] Saya telah membuat kenyataan mengenai keadaan demokrasi di Malaysia sebelum ini.
"Tetapi pada kali ini jelas seseorang yang berkuasa dalam kerajaan Malaysia tidak mahu saya di sini," katanya.
http://www.malaysiakini.com/news/221507
Bunuh rakan senegara, polis buru lelaki Indonesia
14 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment