13 February 2013

Antara DAP dan UMNO - Khalid jawab Fathul Bari

Isu ini adalah isu terakhir yang ditimbulkan Fathul Bari yang akan saya jawab. Sembilan isu telah beliau kemukakan dan kesemuanya saya telah hurai dengan panjang lebar. Saya tahu beliau akan tetap di atas pendiriannya kerana paksi kepada segala hujjahnya ialah bersandarkan bahawa beliau mesti bersama dengan pemerintah walau sejahat mana sekalipun pemerintah tersebut.

Namun dalam mempertahankan pemerintah, beliau sanggup memutar-belitkan fakta dan ini amat sangat mendukacitakan.


Di antara fakta yang diputar-belit ialah kedudukan DAP dan bagaimana PAS lebih rela bersama DAP berbanding dengan UMNO. Kenyataan ini dikeluarkan dengan tujuan memperlekehkan pendirian PAS untuk menyertai PR sedangkan hakikatnya tiada pilihan yang sebegitu perlu dilakukan.

Ini adalah kerana pilihan sebenar adalah di antara PAS atau UMNO bagi ummat Islam dan DAP atau MCA/MIC/Gerakan bagi yang bukan Islam. PAS ingin menggantikan UMNO sebagai peneraju politik Melayu dan Islam. PKR juga mempunyai cita-cita yang sama walaupun mereka adalah parti berbilang kaum. PAS berkerjasama dengan DAP kerana PAS memerlukan rakan untuk mendapat sokongan bukan Islam sepertimana juga UMNO apabila bersama MCA/MIC/Gerakan. Bagi pandangan PAS, DAP adalah parti yang lebih mulia berbanding MCA/MIC/Gerakan kerana DAP mempunyai prinsip perjuangan yang berpaksikan konsep keadilan sosial. MCA/MIC/Gerakan telah sebati dengan kronisma dan rasuah sepertimana rakan kongsi mereka iaitu UMNO.

Dalam usaha menggantikan UMNO, adalah pelik sekiranya PAS berganding pula dengan UMNO! Hakikatnya, dari perspektif PAS, UMNO adalah penghalang kepada kebangkitan ummat kerana mereka menawarkan kepada orang Islam kaedah politik yang selain dari Islam. Pada masa yang sama mereka menghalang kemaraan PAS dalam usaha memperbetulkan minda Muslim dengan menutup segala saluran dakwah yang mampu ditutup mereka.

Bagi UMNO kefahaman yang jelas berhubung politik Islam adalah ancaman kepada politik perkauman UMNO. Oleh itu mereka berusaha sedaya upaya untuk menghalang peningkatan kefahaman ummat Islam. Dan inilah sebabnya UMNO adalah musuh Islam yang sebenar. Oleh itu tidak masuk akal untuk PAS berkerjasama dengan UMNO.

Ini adalah kerana PAS ingin kefahaman terhadap politik Islam ditingkatkan sambil UMNO mahu ianya semakin disekat! Adakah mungkin berganding bersama? Satu ingin tambah dan satu lagi ingin kurang!

DAP sebaliknya bukan merupakan saingan terhadap PAS. Ini adalah kerana PAS dan DAP tidak merebut ‘market’ yang sama. DAP inginkan yang bukan Islam berpegang kepada corak politik berprinsip, walaupun bukan prinsip Islam, namun ada banyak persamaan dengan Islam. Persoalan keadilan sosial, keadilan, ketelusan, kecekapan semuanya adalah prinsip yang selari dengan ajaran Islam. Berbanding MCA/MIC/Gerakan mereka merupakan rakan yang lebih mulia.

Maka jelas PAS tidak boleh menerima UMNO sebagai rakan kerana ingin menggantikan UMNO. Pada masa yang sama, adalah amat lojik bagi PAS untuk berkerjasama dengan DAP kerana perlukan rakan bukan Islam untuk menghadapi hakikat masyarakat majmuk. Fathul dalam menyentuh persoalan ini hanya menyentuhnya dari sudut emosi perkauman dan ‘keislaman’ yang songsang. Iaitu DAP bukan Islam sambil UMNO Islam. Persoalannya, adakah kita sebagai ummat Islam wajar berkerjasama dengan orang Islam yang ingin mengongkong kefahaman Islam itu sendiri?

Sudah pasti tidak! Maka biarlah PAS bersaing dengan UMNO demi membebaskan ummat Islam dan agama Islam itu sendiri dari terus dikongkong UMNO!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas