Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof digesa menarik balik kenyataan meminta rakyat tidak meraikan dan membantah di jalan raya selepas keputusan pilihan raya umum diumumkan bagi mengelakkan tragedi seperti 13 Mei 1969 berulang.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, tindakan Abdul Aziz itu tidak profesional dan sengaja mahu mengugut rakyat dengan kuasa yang ada padanya.
“Tidak wajar SPR buat kenyataan seperti itu. Langsung tidak profesional. Malah beliau seperti mengulangi hujah Umno yang mengatakan demonstrasi boleh mengakibatkan tragedi 13 Mei.
“Kalau Abdul Aziz rasa bertanggungjawab, beliau mesti tarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada rakyat kerana memberikan gambaran buruk kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, beliau mempersoal tindakan SPR cuba mengaitkan tragedi 13 Mei dengan keputusan pilihan raya. “Kenapa nak ugut orang awam?
Kita ada undang-undang. Mengapa SPR nak ungkit tragedi 13 Mei untuk takutkan rakyat,” soal Tian.
“Sebetulnya jika SPR ini bebas, dia (Abdul Aziz) mesti minta rakyat turun menunaikan tanggungjawab mengundi dan memberi jaminan pilihan raya diadakan telus.
Tapi kenapa nak diungkit 13 Mei pula,” ujar Ahli Parlimen Batu itu. Abdul Aziz juga dilaporkan meminta pihak yang menang juga yang tewas agar menerima pilihan pengundi dan tidak menyalahkan SPR.
Menurutnya, lima kerajaan negeri bertukar selepas Pilihan Raya Umum 2008 menunjukkan kononnya kebebasan SPR.
“Ini seperti SPR akan lakukan penipuan. Mana dia jaminan SPR untuk pastikan tiada penipuan dalam pilihan raya?
Kerja SPR sepatutnya tolong pastikan pilihan raya berjalan telus dan bersih, bukan jadi alat politik kerajaan,” tempelak Tian.~ kd
SPR: Jangan demo lepas p’raya, elak tragedi 13 Mei
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengingatkan kesemua parti agar tidak meraikan atau membuat bantahan di jalan raya selepas keputusan pilihan raya diumumkan, bagi mengelakkan tragedi seperti 13 Mei 1969 berulang.
Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar berbahasan Cina Oriental Daily yang disiarkan hari ini, Abdul Aziz berkata SPR mengambil teladan daripada tragedi tersebut dan memperkenalkan peraturan yang mengharamkan sambutan atau bantahan demikian.
Katanya, pihak lain akan turut ke jalan raya dengan jumlah yang besar sehingga menyebabkan perintah berkurung terpaksa dikeluarkan.
Abdul Aziz seterusnya menasihatkan semua parti politik agar mamatuhi peratus pilihan raya dan bekerjasama untuk memastikan kestabilan dan keamanan, tidak kira pihak mana yang menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau juga mengingatkan BN dan pembangkang agar tidak menggunakan isu kaum dan agama semasa pilihan raya.
Katanya, agama adalah perkara yang dekat di hati orang ramai dan ada yang sanggup menggadai nyawa demi agama mereka.
Beliau turut meminta pihak yang menang dan juga yang tewas agar menerima pilihan pengundi dan tidak menyalahkan SPR.
Katanya, lima kerajaan negeri bertukar selepas pilihan raya umum 2008 yang didakwanya menunjukkan kebebasan SPR.~ fmk
0 Komen :
Post a Comment