BlogList Malaysia

08 January 2013

Mufti P. Pinang Belasah Majlis Fatwa

Majlis Fatwa Kebangsaan mesti menjemput Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mendapatkan penjelasan bagi menyelesaikan kemelut berkaitan dengan apa yang dipanggil Amanat Haji Hadi.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad menegaskan, isu yang menjadi kontroversi itu tidak boleh diselesaikan hanya dengan berdasarkan laporan akhbar.


"Ia mesti mengikut prosedur. Datuk Seri Abdul Hadi perlu dijemput untuk berbincang dan bagi mendapatkan penjelasan. Ia tidak boleh diselesaikan mengikut andaian," katanya.

Mengenai fatwa yang dikeluarkan mengenai amanat itu, Hassan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh bergantung kepada fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa di peringkat negeri.

Kuasa mengeluarkan fatwa, katanya, adalah kuasa negeri dan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak semestinya satu keputusan mutlak kerana kuasa agama kekal di bawah kuasa negeri.

Beliau menjelaskan, fatwa sesebuah negeri boleh diguna pakai oleh negeri yang menggazetnya.

“Jika fatwa yang dikeluarkan di peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan hanya di peringkat kebangsaan, dan ia tidak akan dibawa ke negeri, ia tidak menjadi undang-undang keseluruhan kerana ia berperanan menyelaras sahaja,” katanya.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya pula menegaskan tiada fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan secara khusus mengenai Amanat Haji Hadi yang menjadi isu kontroversi itu.

Katanya, beberapa fatwa yang dikeluarkan mengenai isu seumpama itu adalah dibuat oleh majlis fatwa peringkat negeri.

Sebuah daripadanya adalah Majlis Fatwa Negeri Melaka, yang dikeluarkan pada 2002.

Fatwa yang diputuskan di peringkat negeri, katanya, tidak semestinya boleh diguna pakai oleh negeri lain.

“Fatwa yang ada itu ialah mengenai isu kafir-mengkafir, sama seperti fatwa (yang dibuat) oleh Kelantan. Fatwa yang ada dalam laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Melaka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas