09 January 2013

Himpunan Kebangkitan Rakyat: Polis & SB digesa pamer nombor dan tanda nama

KUALA LUMPUR 9 Jan: Angkatan WargaAMAN Malaysia (WargaAMAN) mendesak semua anggota polis termasuk Special Branch (SB) yang bertugas dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat perlu memaparkan pas, ID, tanda nama dan nombor pengenalan mereka pada uniform masing-masing.

Ini, kata Setiausaha Agungnya, S Barathidasan supaya sebarang salah laku oleh pihak polis juga boleh direkodkan serta dilaporkan oleh rakyat yang terlibat.


Sehubungan itu, katanya WargaAMAN berasa agak kesal dengan keputusan pihak polis untuk mengeluarkan pas khas media serta membezakan kehadiran rakyat jelata pada 12 Januari ini yang akan turut serta dalam HKR.

“Pokok persoalannya ialah kenapa perlu membeza-bezakan antara wartawan dan peserta?” soal beliau dalam satu kenyataan, seperti dilapor Harakah Daily.

Padahal, kata beliau para wartawan sudah pun memiliki pas media syarikat mereka dan akreditasi rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi yang sudah memadai untuk mengenal pasti wartawannya.

Justeru, beliau berharap pihak polis dapat mengambil iktibar daripada peristiwa ‘Duduk Bantah Bersih 3.0’ pada 28 April 2012 yang mana ramai wartawan telah diserang oleh pihak polis ketika membuat liputan sehingga ada yang terpaksa dimasukkan ke hospital serta kad memori kamera telah dirampas dan ada yang rosak.

“Tapi sehingga hari ini, tiada apa-apa tindakan diambil berhubung aduan insiden tersebut. Ini tidak harus berlaku di mana wartawan juga merupakan rakyat Malaysia yang sepatutnya diberikan perlindungan keselamatan oleh pihak polis,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak polis sepatutnya menawarkan perlindungan kepada semua orang dan menghormati hak asasi setiap rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman.

Tambahnya, pada masa yang sama, mereka perlu menunjukkan profesionalisme supaya hak asasi rakyat jelata tidak dicabuli dengan sewenang-wenangnya.

“Pihak polis harus berperanan sebagai rakan kita dan tidak memihak kepada sesiapa,” ujarnya lagi.

Katanya, untuk mencapai sasaran 1 juta rakyat untuk menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat, WargaAMAN, Tamilar Action Force (TAF), Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) akan berusaha untuk menggerakkan 10,000 hingga 15,000 masyarakat India di Lembah Kelang dan dianggarkan hampir 100,000 masyarakat India dari seluruh negara akan membanjiri Stadium Merdeka yang ingin keadilan ditegakkan di tanah air kita.

- http://www.keadilandaily.com/


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas