15 January 2013

Adun Pulau Tikus nafi keluar DAP

GEORGETOWN - Adun Pulau Tikus, Koay Teng Hai yang digantung keahliannya dalam DAP mengumumkan menjadi ‘Adun bebas’ buat sementara waktu sehingga tempoh hukuman tamat.

Beliau yang dikenakan tindakan penggantungan itu selepas tidak menghadiri persidangan Dun pada 1 November lalu bagaimanapun menafikan keluar daripada DAP.

Teng Hai berkata, beliau akur dengan keputusan parti yang menggantung keahliannya selama enam bulan namun beliau akan mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa disiplin parti itu.


“Berdasarkan peraturan parti, mana-mana ahli parti yang digantung keahlian tidak boleh mewakili DAP sehingga tempoh penggantungan tamat.

“Sebagai Adun saya akan tetap berkhidmat untuk rakyat sehingga Dun dibubarkan,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini semalam.

Minggu lalu, Jawatankuasa Disiplin Kebangsaan DAP membuat keputusan menggantung keahlian parti ke atas Teng Hai selama enam bulan kerana tidak akur kepada arahan parti supaya menghadiri sidang Dun.

Ini kerana, tindakan Teng Hai itu menyebabkan kerajaan negeri hampir kehilangan majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bertujuan menyekat Adun melompat parti.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Tan Kok Wai dipetik berkata, Teng Hai dikenakan tindakan itu kerana gagal mematuhi arahan menghadiri sidang Dun untuk menyokong pindaan Perlembagaan Negeri meluluskan rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang memerlukan sekurang-kurangnya 27 undi.

Mengulas mengenai perkara itu, Teng Hai berkata, beliau tidak menyangka ketidakhadirannya dalam sidang Dun lalu mendatangkan kesan kepada usaha kerajaan negeri meminda Perlembagaan Negeri.

“Saya tidak tahu pun kehadiran saya amat diperlukan ketika proses pengundian bagi meminda perlembagaan dan saya akui ia adalah satu kesilapan. Saya sudah pun meminta maaf kepada jawatankuasa disiplin parti,” katanya.

Sementara itu, Speaker Dun, Datuk Abdul Halim Hussain ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak menerima sebarang laporan daripada DAP mengenai penggantungan keahlian Adun Pulau Tikus itu.

Menurutnya, sebarang keputusan mengenai status Teng Hai hanya akan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada DAP.

“Saya hanya mengetahui perkara ini melalui media sahaja namun sehingga hari ini belum menerima laporan dari DAP.

“Difahamkan dia (Teng Hai) juga diberikan tempoh untuk membuat rayuan mengenai keputusan jawatankuasa disiplin partinya itu, jadi kita tunggu laporan dari DAP,” katanya. - SinarHarian


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas