BlogList Malaysia

22 November 2012

Umno Akan Kekalkan AES Dan Tiada Diskaun Saman

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang memansuhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mahupun memberi diskaun saman kepada pesalah trafik yang dikesan menerusi sistem itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menegaskan bahawa sistem AES bukan untuk menghukum tetapi bagi mengajar pengguna jalan mematuhi undang-undang dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut.


Sejak fasa pertama sistem kamera AES dipasang pada 22 September lepas, ada penurunan sehingga 70 peratus bilangan mereka yang melanggar had laju dan melanggar lampu isyarat, katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Cho Ha berkata, pelaksanaan AES telah dikaji daripada segala aspek termasuk kepakaran memperbaiki, menyelenggara peralatan AES dan kaedah mengelakkan wujudnya vandalisme.

Katanya beliau berasa amat kecewa dengan tindakan segelintir wakil rakyat pembangkang yang didakwa memutarbelitkan fakta mengenai AES.

"Pembangkang mendakwa seolah-olah dua syarikat yang terbabit dalam AES mengaut keuntungan berlebihan sebaliknya mereka perlu sedar bahawa sebenarnya proses pemilihan (syarikat) dijalankan secara telus.

"Kedua-dua syarikat itu hanya penyedia perkhidmatan manakala penguatkuasaan pula dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri pula berkata kandungan perjanjian antara kerajaan dengan dua syarikat penyedia perkhidmatan AES itu adalah rahsia dan sulit serta mengguna pakai Akta Rahsia Rasmi.

Terdahulu, semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa, Kong berkata cadangan untuk memberi diskaun kepada pesalah trafik yang dikenakan saman melalui AES akan dikaji walaupun pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai sistem untuk berbuat demikian.

"Jadi, cadangan itu kita akan ambil kajian," katanya ketika menjawab gesaan anggota Parlimen Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) sama ada kementerian akan membuat kajian berhubung cadangan tersebut demi kepentingan rakyat.

Beliau juga berkata, kaedah pembayaran saman yang dikesan melalui AES akan diperluaskan apabila pembayarannya boleh dibuat di pejabat pos, melalui MYEG dan secara atas talian.

Mengenai tuduhan sesetengah pihak bahawa kerajaan menswastakan penguatkuasaan kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat, Kong berkata ia adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, ini kerana kedua-dua syarikat itu meerupakan penyedia perkhidmatan yang hanya bertanggungjawab untuk membangunkan, menyelenggara dan mengoperasikan sistem AES.

Katanya, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, semua saman adalah dikeluarkan oleh JPJ yang ditempatkan di Pusat Kawalan AES dan di bawah perjanjian di antara kerajaan dan pihak penyedia perkhidmatan, sistem tersebut akan diserahkan kepada kerajaan selepas lima tahun ia beroperasi.

"Sebenarnya pelaksanaan AES ini telah diberi pertimbangan sedalam-dalamnya oleh kerajaan dan jika kerajaan tidak melantik pihak syarikat swasta secara kaedah penyumberan luar, ia terpaksa memberi pertimbangan kepada masalah dari segi penyelenggaraan, risiko vandalisme, kecurian peralatan, teknologi yang berubah, alat ganti dan penyediaan dalam mengoperasi dan menyelenggarakan sistem ini," katanya.

- Bernama


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas