BlogList Malaysia

22 November 2012

Taklimat Scorpene minggu depan

KUALA LUMPUR 22 November: Taklimat Scorpene yang dijadual berlangsung di Dewan Rakyat hari ini ditunda ke minggu depan berikutan permintaan oleh kedua-dua peguam Perancis – William Bourdan dan Joseph Breham.

Ahli Biro Politik KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata, penangguhan itu dibuat kerana alasan peribadi peguam terbabit.

“Kita akan umumkan tarikh dan masa tersebut pada Isnin depan. Bagaimanapun taklimat itu tetap akan diteruskan di Parlimen minggu depan,” katanya kepada Keadilan Daily.


Jelas Ahli Parlimen Subang itu, pihaknya masih berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri berhubung status kemasukan mereka.

“Surat rasmi mengenai perkara itu sudah dihantar kepada Menteri Dalam Negeri bagi meminta sekatan tidak dilakukan terhadap kedua-dua peguam itu.

“Buat masa ini, belum ada jawapan secara bertulis sama ada kerajaan membenarkan kemasukan peguam tersebut atau sebaliknya dan kita masih tunggu,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan peguam terbabit akan ditahan jika hadir ke Malaysia dan meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan ‘keputusan yang dibuat’.

Beliau juga menyerahkan kepada pihak Imigresen sama ada membenarkan atau tidak kemasukan peguam terbabit.

William dan Breham dijadual memberi maklumat terperinci mengenai perbicaraan Scorpene di Mahkamah Perancis di hadapan Ahli Parlimen Malaysia.

Surat jemputan rasmi kepada mereka diserahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 November 2012.

Pada Julai 2011, kerajaan bertindak menghantar pulang William ketika tiba di KLIA untuk memberi taklimat pada majlis makan malam Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Petaling Jaya.

Kapal selam Scorpene yang dibeli dari DCNS di Perancis – melibatkan komisen lebih RM500 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat milik rakan baik Perdana Menteri – Abdul Razak Baginda.

Skandal ini dikatakan turut berhubung kait dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang dibunuh mengguna bom C4 dari Kementerian Pertahanan pada 2006.

Kedua-dua hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire kini sedang meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan di Mahkamah Tribunal deGrande Instance Perancis.

Tujuh saksi dinamakan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi; penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, Abdul Razak Baginda, isteri Razak, Mazlinda Makhzan, pembantu kanan beliau, Jasbir Singh Chahl serta Ahli Perniagaan, Lodin Wok Kamaruddin.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=39911


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas