09 November 2012

JMM: 'Nazri perlu terima teguran kita, bukan cabar'

SHAH ALAM - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tetap dengan pendiriannya menyatakan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai "liabiliti" kepada Barisan Nasional (BN) meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri menolak tanggapan sedemikian.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya tetap dengan pendirian itu berdasarkan maklumat diperolehi daripada rakyat.


Sehubungan itu, Azwanddin menegaskan, reaksi Nazri kelmarin menunjukkan beliau angkuh dan hanya mengutamakan kepentingan peribadi, bukannya parti.

Tambahnya, "sepatutnya Nazri bertindak mengeluarkan kenyataan yang lebih matang, bukan mencabar saya bertanding di tempatnya."

"Kita tegur daripada pemerhatian dan kita dengar orang yang bercakap di belakang, kita tak ada niat untuk burukkan beliau, kita nak membantu parti itu.

"Tapi bila kenyataannya keluar hari ini (kelmarin), saya tengok beliau begitu angkuh dan sepatutnya beliau kena keluarkan kenyataan yang lebih matang dan menerima teguran kita sebagai wakil kepada rakyat.

"Kita tetap pendirian katakan beliau memang liabiliti BN dari segi isu rasuah," katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam reaksinya kelmarin, Nazri berkata, "saya aset (kepada parti), bukan liabiliti."

“Saya rasa saya aset kepada BN, kalau tak, takkan mereka (pembangkang dan Azwanddin) nak serang saya.

"Yang buat serangan pula adalah Pengarah Strategi PKR. Jelas itu strategi dari PR dan bimbang dengan kedudukan saya. Tapi kita tengok nanti sama ada saya ni aset atau liabiliti kepada BN,” katanya.

Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, Nazri seharusnya menerima pandangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi teguran demi kepentingan parti dan bukan mengeluarkan kenyataan mengikut emosi.

Beliau berkata, NGO hanya bertindak sebagai pemerhati bebas dan memberi teguran tanpa mempunyai agenda untuk memburukkan sesiapa terutama pemimpin-pemimpin negara.

"Kita bercakap untuk kebaikan BN, tapi beliau keluarkan kenyataan untuk kepentingan peribadi.

"Beliau sepatutnya terima pandangan kita, dan menjawab dengan baik untuk kebaikan bersama dan beliau memang bebas untuk bercakap," katanya sambil menambah, kekesalan terhadap kenyataan Nazri yang disifatkan sebagai "keanak-anakan."

- SinarHarian


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas