BlogList Malaysia

26 November 2012

Dihalang masuk M’sia, peguam Perancis beri taklimat Scorpene di Singapura esok

KUALA LUMPUR 26 November: Taklimat Scorpene yang dijadual berlangsung di Parlimen Malaysia ditukar di Singapura esok, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan taklimat tersebut ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ekoran itu, sesi taklimat tersebut akan diadakan di Hotel Changi Village selama dua jam bermula 12 tengahari oleh Apoline Cagnate, rakan kongsi dari firma peguam Perancis, William Bourdon.


“Hari ini pejabat Ketua Pembangkang terima surat rasmi dari Speaker yang beri jawapan negatif (berhubung permohonan taklimat).

“Antara sebab yang diberi Speaker adalah bantahan dari Ahli Parlimen BN dengan alasan menjaga kedaulatan dan nama baik institusi Parlimen,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Surat rasmi yang dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bagi meminta jaminan peguam boleh masuk ke Malaysia juga sampai hari ini tidak dijawab,” kesalnya.

Justeru, beliau menjemput semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk dari BN serta pihak media untuk hadir sama.

“Bagi yang tak dapat hadir, boleh tanya soalan melalui laman twitter dan facebook. Kami juga akan usahakan supaya taklimat boleh disiarkan secara langsung melalui internet,” kata Ahli Parlimen Batu itu.

Turut hadir sidang media, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Perkara tersebut turut disahkan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel.

“Ya, taklimat tersebut akan diadakan di Singapura esok,” katanya kepada Keadilan Daily.

Mengikut jadual, William dan seorang lagi peguam Perancis, Joseph Breham akan memberi maklumat terperinci mengenai perbicaraan Scorpene di Mahkamah Perancis.

Khamis lalu, Sivarasa memberitahu, taklimat yang sepatutnya diadakan pada Khamis lalu ditunda dan dijadual berlangsung di bilik taklimat, bangunan Parlimen esok.

Surat jemputan rasmi kepada mereka diserahkan Anwar pada 7 November lalu.

Sebelum ini, Hishammuddin menyatakan peguam terbabit akan ditahan jika hadir ke Malaysia dan meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan ‘keputusan yang dibuat’.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan bertindak menghantar pulang William ketika tiba di KLIA untuk memberi taklimat pada majlis makan malam Suaram di Petaling Jaya.

Kapal selam Scorpene yang dibeli dari DCNS di Perancis – melibatkan komisen lebih RM500 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat milik rakan baik Perdana Menteri – Abdul Razak Baginda.

Skandal ini dikatakan turut berhubung kait dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang dibunuh mengguna bom C4 dari Kementerian Pertahanan pada 2006.

Hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire kini sedang meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan di Mahkamah Tribunal deGrande Instance Perancis.

Tujuh saksi dinamakan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi; penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, Abdul Razak Baginda, isteri Razak, Mazlinda Makhzan, pembantu kanan beliau, Jasbir Singh Chahl serta Ahli Perniagaan, Lodin Wok Kamaruddin.

Dipetik dari - http://www.keadilandaily.com/peguam-perancis-beri-taklimat-scorpene-di-singapura-esok/


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas