BlogList Malaysia

03 October 2012

Ali Rustam Tak Bayar Sesenpun Untuk Kenduri Kahwin Anaknya

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Desakan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tentang kos perkahwinan anak Datuk Seri Mohd Ali Rustam memaksa pejabat beliau untuk mendedahkan tentang tajaan yang diterima dalam majlis perkahwinan yang dihadiri lebih 130,000 orang hujung minggu lalu.

Datuk M S Mahadevan menyatakan penyediaan makanan dan perkhidmatan lain dalam majlis perkahwinan anak Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam diperolehi secara percuma.

“Satu sen pun tidak dibayar kepada sukarelawan yang bertugas di majlis tersebut.



“Ini adalah perkahwinan pertama dalam keluarga Ketua Menteri dan semua rakyat Melaka ingin menyaksikannya,” kata pegawai khas kepada ketua menteri Melaka dipetik dari The Star Online menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tentang kemewahan majlis tersebut.

“Pekerja estet pun beratur untuk bersalam dengan pengantin lelaki dan perempuan,” tambah Mahadevan sambil menambah terdapat 500 orang sukarelawan untuk membantu majlis perkahwinan anak Ali Rustam itu.

Majlis perkahwinan Mohd Ridhwan, 26 tahun dan Nur Azieha Mohd Ali juga 26 tahun heboh selepas dilaporkan oleh agensi berita Bernama memecahkan rekod Malaysian Book of Records dengan kehadiran lebih 130,000 orang dalam masa lapan jam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka kawasan Kota Laksamana, Betty Chew yang dihubungi oleh The Malaysian Insider menggesa Mohd Ali Rustam menjelaskan sama ada majlis perkahwinan tersebut mendapat tajaan atau dibiaya sendiri.

“Sebelum itu saya terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada ketua menteri ke atas perkahwinan anaknya.

“Tapi saya juga berharap beliau harus telus dengan mendedahkan kos majlis tersebut.

“Persoalan saya dan orang ramai ialah mengapa sebegitu besar majlis itu diadakan malahan ianya lebih meriah jika dibandingkan dengan majlis rumah terbuka yang diadakan oleh perdana menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak pada sambutan hari raya lalu.

Perkara yang perlu dijawab oleh beliau juga ialah dari mana sumber untuk mengadakan majlis tersebut adakah mendapat tajaan atau dibiaya secara persendirian,” kata Betty.

Sebelum itu, ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming menerusi laman mikro Twitter mempersoalkan dari mana sumber dana tersebut diperoleh dan jumlah keseluruhan kos majlis tersebut.

“Itu duit siapa?” tulis Nga.

Malahan penasihat DAP, Lim Kit Siang turut senada apabila mencetuskan persoalan dan spekulasi dengan membuat tekaan jika kos setiap seorang adalah RM100 maka kos untuk makan sahaja adalah RM13 juta.

“Mustahil, sekurang-kurangnya RM100 setiap seorang — bersamaan RM13 juta untuk 130,000 orang hanya untuk makanan sahaja,” tulis Kit Siang dalam Twitter.

Ekoran dakwaan dan tuduhan oleh pemimpin Kit Siang ia turut mengundang rasa tidak puas hati terutamanya di kalangan pemimpin Umno Melaka, antaranya Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Akbar Ali yang bertindak membidas pemimpin DAP tersebut dalam Twitter.

“Awak ingat ini jamuan makan malam 9 jenis seperti masyarakat Cina dengan sup sirip ikan yu. Ini cara kamu wujudkan fitnah. Ini orang yang sakit,” tulis Akbar yang membalas semula tuduhan Kit Siang dalam Twitter.



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas