04 August 2012

Selangor Bakal Ambil Alih Semula 33 Loji Rawatan Air Dari Syabas

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor dijangka bakal “mengambil alih semula” 33 daripada 34 loji rawatan air yang dimilikinya dan kini dikendalikan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Keputusan itu dibuat demi menjaga kepentingan rakyat Selangor memandangkan kegagalan Syabas dan Puncak Niaga menguruskan loji-loji berkenaan bagi membekalkan air yang mencukupi kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk ‘mengambil alih semula’ aset-aset tersebut bagi menjaga kepentingan rakyat Selangor kerana merasakan bahawa loji-loji yang dikendalikan oleh Syabas dan Puncak Niaga didapati tidak beroperasi secara memuaskan bagi membekalkan air secukupnya kepada rakyat Selangor, KL dan Putrajaya,” kata exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar, dalam satu kenyataan hari ini.


Jelas Adun Sri Andalas itu lagi, pendedahan yang dibuat oleh Adun Pandamaran, Ronnie Liu, bahawa Syabas tidak menyelenggara rumah pam dan kelengkapan tangki air menjadi bukti kukuh punca berlakunya krisis bekalan air berlaku di sesetengah kawasan di Selangor.

“Lawatan exco kerajaan negeri Ronnie Liu, baru-baru ini mendedahkan bahawa Syabas gagal menyelenggara dengan baik pam-pam air, peralatan dan kelengkapan serta tahap kawalan keselamatan aset tangki air dan loji rawatan air milik kerajaan negeri yang menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air di beberapa tempat,” tambahnya.

Selain itu, Jayakumar turut mempersoalkan tindakan Pusat yang berkeras untuk meneruskan pembinaan Loji Langat 2.

“Kita kurang pasti bagaimana Kerajaan Pusat berkeras untuk meneruskan pembinaan loji Langat 2 dan dilaporkan akan memanggil tender terbuka bulan depan.

Xavier Jayakumar: Peguam Negara “campurtangan” dalam isu ini. — Foto fail Saw Siow Feng
“Kita difahamkan bahawa Peguam Negara (AG) turut diseret untuk ‘campurtangan’ dalam isu ini, dan kurang pasti samada pemimpin-pemimpin Pusat memahami dan menghayati konsep dan moral sistem ‘Federalisme’ yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya lagi.

Beliau turut menjelaskan, “hak terhadap sumber air, hutan, batuan dan galian dan hal ehwal melibatkan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri”.

“Rakyat akan melihat bahawa sebarang ‘pengambilan tanah milik sesebuah negeri dalam Persekutuan secara paksaan’ akan dianggap ‘menceroboh dan menakluki’ hakmilik kedaulatan kerajaan Kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor Darul Ehsan.

“Rasanya rakyat Selangor tidak akan berdiam diri,” tegasnya lagi.

Syabas dan syarikat utamanya Puncak Niaga menimbulkan persoalan sama ada krisis air ini telah “direka” untuk mempercepatkan projek pembinaan loji rawatan Langat 2 yang bernilai RM3.6 bilion di mana Puncak Niaga dikatakan akan beroperasi di situ.

Sementara itu, kerajaan negeri, syarikat konsesi air dan juga kerajaan Persekutuan terus-terusan menuduh antara satu sama lain berkenaan isu bekalan air, dan perang mulut ini menyebabkan rakyat Selangor dan Kuala Lumpur semakin risau tentang bekalan air mereka yang menyebabkan isu ini boleh dijadikan isu pilihan raya tentang siapa yang bertanggungjawab jika sekiranya berlaku kekurangan bekalan air.

Pada 16 Julai, Selangor mengumumkan ia akan mengambil alih operasi Syabas untuk mengelakkan kejadian krisis air yang direka dan telah diterangkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai “mencurigakan”.

Khalid juga berkata laporan awal audit mengatakan Syabas tidak menguruskan kewangan mereka dengan baik.

Khalid berkata, tindakan mahkamah mungkin diambil sekiranya Putrajaya enggan membenarkan pemintaan kerajaan negeri kerana enggan menyelesaikan masalah bekalan air.

Pada 14 Julai, Syabas membentangkan kepada Suruhanjaya Pembekalan Air Nasional (SPAN) cadangan untuk mencatu air, dan pelan ini berlaku di Lembah Kelang, khususnya Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang.

Dalam laporan yang terdapat dalam laman webnya, Syabas merekodkan pada 5 Julai, permintaan purata air ialah 4,324.79 juta air sehari (MLD) dengan air bersih yang disimpan sekadar 46.21 MLD atau 1.6 peratus – jauh dari paras yang dimahukan iaitu 20 peratus.

Syarikat bekalan air juga itu berkata catuan air diperlukan kerana kekurangan air, pencemaran sungai serta kerja pembaikan di loji-loji syarikat.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas