29 July 2012

Sabah Hampir Pasti Akan Jatuh Ke Tangan Pakatan

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Bumburing hari ini mengisytiharkan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan akan menyertai Pakatan Rakyat (PR) dipercayai melalui parti Angkatan Perubahan Sabah yang baru diumumkan penubuhannya.

Ahli Parlimen Tuaran itu juga berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah untuk membantu PR memenangi negeri itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Antara punca beliau keluar dari BN ialah kerana kegagalan kerajaan pusat dan kerajaan negeri memantau pendatang tanpa izin (PTI).


“Ini adalah ibu bagi segala masalah yang ada dalam negeri Sabah,” kata Wilfred yang berucap melalui siaran langsung dari laman web UStream TV Merdeka Rakyat.

Menurut Bumburing, peningkatan PTI adalah sekitar 390 peratus iaitu lebih tinggi dari Sarawak iaitu 146 peratus, jauh lebih tinggi dari kadar nasional.

“Dasar BN terhadap PTI ini sangat bahaya kerana berlakunya jenayah, menyukarkan penduduk asal mendapatkan peluang pekerjaan, dan mengancam keselamatan negara.

“Pada zaman Dr M (Tun Dr Mahathir Mohamad) dahulu, dasar memberi kad pengenalan kepada PTI kepada warga asing diberi sewenang-wenangnya.

“Pada sidang Parlimen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada mengumumkan bahawa dia akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja tentang isu PTI ini, tapi sudah tiga kali beliau ke Sabah, namun tidak ada pengumuman ketika beliau di Sabah.

“Dan lebih 250,000 PTI ini datang mengundi bertopengkan nama sebagai orang asli Sabah seperti Kadazan Dusun, Murut, Bajau dan sebagainya,” kata beliau yang merupakan bekas Timbalan Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun Organization (UPKO).

Beliau juga berkata bahawa sikap kerajaan negeri yang suka menghalau warga sendiri menyebabkan rakyat seperti pelarian di dalam negeri sendiri.

“Apabila rakyat mohon geran tanah, kerajaan negeri tak bagi, tapi hantar bulldozer untuk runtuhkan rumah,” kata Bumburing lagi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, Bumburing adalah salah satu contoh orang yang berani dan sanggup melepaskan semua kesenangan demi rakyat.

“Saya pernah berkata bahawa ada kejutan dari Sabah.

“Tetapi, kejutan yang saya maksudkan bukan sekadar Wilfred Bumburing atau Lajim Ukin, kejutan sebenar ialah datang dari rakyat Sabah sendiri,” katanya yang disambut dengan tepukan dan sorakan dari masyarakat Kadazan-Dusun dan Murut yang hadir dalam majlis di Tuaran hari ini. -TMI


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas