SHAH ALAM, 17 Julai -- Kerajaan Negeri Selangor mengorak langkah pertama untuk mengambil alih pengurusan air di negeri itu daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd atau Syabas apabila ia mengambil keputusan untuk mengenepikan kuasa Syabas dalam memberikan kuasa kelulusan pembangunan kepada projek baru dan juga kilang.
Menurut MStar, Menteri Besar,Tan Sri KhalidIbrahim berkata, berdasarkan perjanjian konsesi, Pengawal Air Negeri Selangor yang juga Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Datuk Noordin Sulaiman, mempunyai kuasa untuk mengenepikan ataupun menolak sebarang keputusan yang dibuat oleh Syabas.
Kata Khalid, setakat ini Syabas telah menolak 60 permohonan daripada pekilang.
"Dalam proses untuk memperolehi kelulusan pembangunan, setiap jabatan kerajaan yang berkaitan diperlukan memberi keputusan sama ada setuju, tidak setuju atau wajar dipertimbangkan.
"Syabas akan memberi komen sama ada cadangan itu tidak disyorkan atau disyorkan. Kini kita telah mengarahkan supaya pengawal air Selangor melihat akan keputusan yang dibuat oleh Syabas kerana Syabas bukanlah pihak berkuasa terakhir yang menentukan keputusan muktamad," katanya kepada para pemberita hari ini.
Semalam Khalid telah mengumumkan hasrat kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan Syabas dengan syarat ia diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
Keputusan untuk mengambil alih peranan dan tanggungjawab Syabas itu memerlukan persetujuan daripada pusat.
Selama ini kata Khalid, kerajaan negeri telah mendelegasikan tanggungjawab dan kelulusan arahan pembangunan kepada Syabas di bawah perjanjian konsesi.
Bagaimanapun tegasnya, kerajaan negeri memutuskan untuk membatalkan delegasi kuasa itu ekoran perkhidmatan Syabas yang mereka dakwa sebagai tidak memuaskan.
"Kini mereka tidak dibenarkan lagi membuat keputusan akhir atau muktamad. Keputusan akhir kini akan ditentukan oleh pengawal air negeri Selangor," ujarnya lagi.
Mengenai langkah untuk mengambil alih pengurusan Syabas, Khalid berkata kerajaan negeri telahpun menulis kepada kerajaan pusat dan juga Syabas mengenai hasrat mereka itu.
Keputusan untuk mengambil alih pengurusan Syabas itu dibuat setelah syarikat konsesi air itu membuat keputusan untuk mencatu penggunaan air di Lembah Klang.
"Kami telah memerhati dan melakukan penilaian mengenai prestasi Syabas sejak enam bulan yang lalu dan kami dapati mereka bertindak tidak profesional dan cuba mencetuskan perasaan bimbang dan panik kepada masyarakat," tegas Khalid.
Dalam perkembangan yang lain, Khalid berkata pejabatnya masih belum lagi menerima surat perletakan jawatan ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Latheefa Koya yang diumumkan semalam.
http://malaysiaaktif.my/v2/index.php/Breaking-News/Kerajaan-Selangor-serang-balas.html
0 Komen :
Post a Comment