BlogList Malaysia

16 July 2012

Dua suspek halang SPRM serbu lombong haram dikenalpasti

Polis Kelantan mengenal pasti dua daripada lapan lelaki yang disyaki mengganggu tugas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika membuat serbuan ke sebuah lombong emas haram di Sungai Emas, Felda Perasu, Gua Musang, Khamis lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata suspek berusia alam lingkungan 30-an dan akan ditangkap pada bila-bila masa bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata mereka adalah antara individu yang dikatakan menahan sebuah kereta dipandu pegawai SPRM dari ibu pejabat Putrajaya dalam operasi mencegah kegiatan lombong haram di kawasan itu.


Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (memiliki senjata maut dalam rusuhan), katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kem Kendiri Kesedaran Jenayah anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Kelantan di Kota Bharu semalam.

Dalam operasi itu, pegawai SPRM menahan tiga jengkaut, dua pam air, sebuah kereta Perodua Kembara dan dua Toyota Hilux di kawasan perlombongan selain menahan beberapa suspek yang menjalankan kerja melombong.

"Kelapan-lapan suspek yang menaiki empat buah motosikal dan bersenjatakan benda tajam, menahan pegawai berkenaan dan mengugut untuk memukulnya jika tidak menyerahkan rakan mereka yang ditahan penjawat awam terbabit," katanya.

Jalaluddin berkata kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak SPRM menahan beberapa pekerja lombong emas haram dan menyita jentera serta peralatan perlombongan di kawasan itu.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, empat laporan polis dibuat oleh pihak SPRM yang akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (mengugut), Seksyen 324 (mendatangkan kecederaan), Seksyen 353 (menghalang penjawat awam) dan Seksyen 427 (khianat) kanun sama.

Sebelum ini, akhbar melaporkan sepasukan pegawai dari ibu pejabat SPRM menyerbu sebuah kawasan perlombongan haram di Felda Perasu dan merampas peralatan yang digunakan sindiket lombong haram itu, Khamis lepas.

Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui pihaknya menyedari wujudnya kegiatan itu, tetapi ia dijalankan secara kecil-kecilan.

- Bernama


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas