29 June 2012

BB Plaza - Mercu Tanda Dan Aset Bumiputera Yang Gagal Dipertahankan Umno

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) berasa kesal dan kecewa dengan tindakan kerajaan yang ingin merobohkan bangunan Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) bagi memberi laluan kepada projek pembinaan stesen MRT.

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, BB Plaza merupakan aset kepada UDA Holding yang rata-ratanya mempunyai 60 peratus penyewa di kalangan orang Melayu.

Apatah lagi, ujarnya UDA itu sendiri bertujuan untuk membantu golongan usahawan bumiputera.


Menruutnya, BB Plaza yang telah berusia 33 tahun ini juga bukan sahaja sebagai pusat beli belah yang berkedudukan strategik malahan menjadi tumpuan pelancong samada tempatan mahupun antarabangsa.

“DPPWP melihat dengan perobohan bangunan BB Plaza ini, bagaikan menabur pasir ke dalam periuk nasi para peniaga Melayu/Bumiputera di sini.

“Bagaimanakah nasib para peniaga ini nanti?,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tempoh pembinaan Stesen MRT di tapak BB Plaza itu pula memakan masa selama 5 tahun.

Katanya, walaupun terdapat cadangan usaha beberapa pihak untuk membangunkan semula BB Plaza, persoalannya ialah mampukah para peniaga Melayu menampung kos sewa yang mahal.

Sebelum ini, ujar beliau UDA telahpun menjual 2 asetnya paling bernilai iaitu Plaza Warisan dan UO Superstore.

Aset-aset itu, tambah Kamaruzaman telah memberikan keuntungan kepada UDA yang menjaga golongan usahawan Melayu.

Kini, katanya BB Plaza pula ingin dilupuskan.

“Di manakah peranan kerajaan UMNO BN yang kononnya ingin menjaga hak dan keistimewaan orang Melayu?” tanya beliau.

DPPWP, katanya difahamkan bahawa laluan pembinaan stesen MRT yang asal tidak melibatkan bangunan BB Plaza.

Hanya apabila tidak mampu membayar pampasan, maka aset orang Melayu ini dikambinghitamkan, ujarnya.

Justeru, kata beliau DPPWP mendesak agar kerajaan mengkaji semula dan menarik balik cadangan merobohkan bangunan BB Plaza demi survival pengusaha-pengusaha Melayu di Kuala Lumpur.

“Kita tidak menolak sebarang usaha untuk membangunkan dan memajukan bandar Kuala Lumpur ini tetapi janganlah sehingga menindas sesetengah pihak terutama peniaga-peniaga bumiputera yang masih memerlukan bantuan untuk terus bersaing dengan peniaga-peniaga lain,” katanya.

Harakahdaily


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas