29 May 2012

TGNA - Lebuhraya Wakaf Akan Siap Dalam Masa 3 Tahun

Lebuh raya berkonsepkan wakaf dibina. Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat dari Kuala Krai ke Kota Bharu bernilai RM1.8 bilion akan dapat disiapkan mengikut jadual.

Mursyidul Am PAS itu berkata pembiayaan kos projek itu akan turut melibatkan sumbangan wang daripada rakyat, lapor Malaysiakini.

"Kita yakin dapat melaksanakan projek bernilai RM1.8 bilion ini walaupun tidak sepenuhnya melalui sumbangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan projek lebuh raya itu di Kampung Berangan Mek Nab di Machang, hari ini.


Nik Aziz mengulas kenyataan sesetengah pemimpin politik, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang sangsi dengan kemampuan kerajaan PAS Kelantan membina lebuh raya melibatkan kos besar dan menyifatkannya sebagai gimik politik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata pembinaan lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Ladang Sungai terah menyumbangkan RM1 juta untuk pembinaan lebuh raya bagi meringankan kesusahan rakyat Kelantan yang pulang ke kampung pada setiap hari raya dan cuti sekolah

Katanya lebuh raya tanpa tol, dengan empat lorong (dua lorong sehala) itu turut dilengkapi dengan kawasan rehat dan rawat (R&R).

"Pembinaannya berkonsepkan wakaf di mana kos pembinaan serta penyelenggaraannya dibiayai sebahagian daripada dana hasil sumbangan derma dan wakaf oleh rakyat dan syarikat swasta, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.

Tok Guru Nik Aziz sendiri menyumbangkan RM5,000 wang peribadinya semalam untuk menjayakan projek ini.

Anak syarikat kerajaan negeri, Ladang Sungai Terah menyumbang RM1 juta manakala syarika Ufuk Budiman menyumbang RM100,000 kepada projek ini.

Di majlis itu, Tok Guru Nik Aziz menyeru semua lapisan masyarakat turut derma atas rasa tanggungjawab dan rasa hak bersama.

"Iapun bertepatan dengan Islam derma yang menggalakkan kita buat jalan selain masjid dan kita akan dapat pahala berpanjangan," katanya.

Sementara itu di Kuala Lumpur , Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada kerajaan PAS Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana berjaya mengusahakan projek pembinaan lebuhraya dari Kuala Krai ke Kota Bharu yang bernilai RM1.8 bilion.

“DPPM percaya pembinaan lebuhraya ini adalah hasil dari kecekalan dan kesungguhan pemimpin PAS berjuang demi rakyat dan bukannya khayalan atau gimik politik seperti tohmahan sesetengah pihak,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Beliau berkata, hanya dengan sikap amanah, adil, jujur dan bersih serta menjauhi rasuah atau penyelewengan kuasa menjadikan kerajaan PAS Kelantan mampu berdikari meskipun tanpa bantuan kerajaan pusat.

Katanya, ia juga menjadi petanda bahawa PAS bersedia memimpin negara ini jika diberikan mandat oleh rakyat kelak.

Apa yang lebih membanggakan lagi, ujar beliau kerajaan Kelantan berjaya menunjukkan contoh Negara Berkebajikan yang dicanangkan PAS selama ini dan juga dalam Buku Jingga seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat iaitu dengan pembinaan lebuhraya tanpa tol, sesuatu yang tidak pernah difikirkan munasabah oleh pemerintahan Umno BN.

Malah, katganya konsep wakaf dan sumbangan daripada orang ramai serta syarikat berteraskan kerajaan (GLC) memberi gambaran bahawa projek ini adalah hasil titik peluh daripada kerajaan dan rakyat negeri itu yang bekerjasama membangunkan negeri tersebut.

DPPM juga, ujarnya merasa kecewa kerana kerajaan pusat gagal memberikan kemudahan lebuhraya kepada rakyat Kelantan seperti yang sepatutnya. Menurutnya, berpuluh tahun rakyat Kelantan dinafikan hak daripada memiliki pelbagai kemudahan sehingga mereka terpaksa memikirkan kaedah lain bagi mengatasi masalah mereka.

- ibnuhasyim.com


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas