26 May 2012

Nazri Aziz Meroyan Dengan Bekas Peguam Cara Negara II

Nazri: Saya tak nampak untungnya Anwar ambil Yusof jadi peguam

KUALA KANGSAR - Bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang kini membela Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes berkaitan perhimpunan 28 April itu, bebas berbuat demikian selepas meletak jawatan Februari lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

"... saya difahamkan Anwar panggil dia (Yusof) kononnya untuk menguatkan kes dia (Anwar) (untuk) mempertahankan diri, tapi yang menentukan sama ada orang itu bersalah ataupun tidak, bukan peguam yang mewakili tapi hakim di mahkamah.


"Tapi saya tak nampak untungnya ambil Yusof sebagai peguam kerana Yusof bukan pendakwa yang disegani, tak ada siapa kenal dia," kata beliau dipetik Bernama hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan program ekspedisi berakit Sungai Perak sempena Tahun Melawat Malaysia di sini.

Dalam laporan Selasa lalu, Yusof berkata, beliau tidak mempunyai hubungan politik dengan ketua pembangkang itu tetapi sekadar menjalankan tugas sebagai seorang peguam profesional.

"Saya seorang peguam dan setiap orang berhak berbuat demikian. Saya tidak teragak-agak atau mempunyai masalah untuk mengambil kes ini," katanya.

Yusof, yang mengetuai pendakwaan pada perbicaraan kes liwat kedua ketua pembangkang itu berkata, beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan sesiapapun ketika bersetuju mewakili Anwar.

Mahkamah Tinggi pada 9 Januari lepas memutuskan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Yusof yang bersara Februari lepas, berkata, Anwar menghubunginya pada kira-kira 10 malam Isnin lalu dan beliau tidak teragak-agak menyertai pembelaan.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan itu dilakukan sebagai bantahan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Yusof berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan Abdul Gani, dan enggan mengulas lanjut.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas