17 May 2012

Lagi Cerita Samsengnya Polis Malaysia..

Pasca Bersih 3.0 : Kepala saya ditumbuk depan balai polis

PETALING JAYA 17 Mei: Seorang peserta Himpunan Bersih 3.0, mendedahkan beliau dipukul sekumpulan polis di hadapan balai polis ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyertai perhimpunan itu.

Menceritakan pengalaman ngeri di Jalan Dang Wangi pada 28 April lalu, Abdul Razib Abu, 45, berkata, pada jam 5.00 petang selepas menyaksikan keadaan tidak terkawal, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun, apabila mendapati kebanyakan jalan di ibu negara ditutup, beliau mengambil keputusan singgah di sebuah restoran di sekitar Jalan Masjid India untuk membeli makanan.


Menyangkakan keadaan kembali terkawal, beliau memutuskan menggunakan Jalan Dang Wangi untuk pulang ke rumahya di Semenyih.

“Kira-kira jam 7.00 malam, ketika melintasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, motosikal saya diserbu lapan hingga 12 anggota polis berpakaian seragam.

“Saya tidak diberikan arahan supaya memberhentikan motosikal. Secara tiba-tiba, saya diserbu dan dikelilingi kumpulan polis berkenaan.

“Pada masa itu, saya memakai baju Bersih 3.0 tetapi ditutup dengan baju kemeja lain. Mereka memaksa saya menanggalkan baju kemeja, saya tidak melawan dan mengikut arahan mereka.

“Selepas menanggalkannya, polis berpangkat sarjan menarik baju Bersih 3.0 dan anggota lain terus memukul saya. Mereka menumbuk saya dan mengetuk kepala tanpa henti” katanya selepas membuat laporan di IPD Petaling Jaya, pagi tadi.

Beliau diiringi Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan peguam, Fadiah Nadwa Fikri.

Abdul Razib berkata, dalam keadaan bertarung nyawa, beliau merayu kepada kumpulan polis berkenaan supaya berhenti memukulnya.

Bagaimanapun, rayuan itu tidak dihiraukan, malah beliau diherdik dan dimaki dengan kata-kata kesat.

“Saya rela memberikan baju Bersih 3.0 yang saya pakai kalau itu yang mereka mahu. Saya beritahu mereka, saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Namun, dengan tiada belas kasihan mereka memukul saya.

“Beg saya diselongkar dan dicampak ke tepi jalan. Selepas 15 minit dibelasah, saya diherdik supaya meninggalkan kawasan ini segera,” katanya yang cedera di badan dan motosikalnya rosak.

Beliau melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan polis di luar kewarasan tanpa rasa belas ehsan.

Katanya, beliau diperlakukan seperti penjenayah besar sedangkan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan pada ketika itu ataupun semasa perhimpunan berlangsung.

“Saya sedih bukan disebabkan saya dipukul, tetapi sedih memikirkan sikap polis yang menggangap orang awam sebagai musuh dan bertindak samseng.

“Sikap inikah yang ditunjukkan pasukan keselamatan sedangkan mereka sepatutnya membela rakyat yang teraniaya, bukan menganggap sebagai musuh demi tunduk kepada pemerintah Umno BN,” tegasnya.

Seorang lagi mangsa keganasan polis, Pang Choy Wan, 27, mendedahkan beliau ditembak gas pemedih mata di pehanya dalam jarak 10 meter.

Menurut Choy Wan, kejadian itu berlaku sewaktu dia berada di Jalan Yap Ah Loy selepas bersurai daripada himpunan.

Tembakan itu menyebabkan pehanya cedera dan lebam.

Dipetik dari http://wargamarhaen.blogspot.com/2012/05/pasca-bersih-30-kepala-saya-ditumbuk.html


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas