BlogList Malaysia

13 May 2012

'Kenapa sekarang orang tergamak pukul polis?'

Seorang bekas anggota sukarela "home guard" atau pengawal kampung semasa zaman penjajahan British pada 1956, meminta pihak-pihak tertentu agar jangan merosakkan keamanan negara yang telah terbina sejak sekian lama.

Lau Kau, 72, yang pernah menjadi anggota pasukan pada tahun berkenaan di Kampung Layang-Layang, Johor berkata kesengsaraan rakyat ketika itu tidak boleh dibayangkan akibat kekejaman komunis.

"Zaman itu rakyat semua takutkan komunis. Rakyat hidup susah. Kami ketika itu sudah pandai pegang senjata walaupun umur masih muda.


"Sekarang negara kita sangat aman. Kenapa mahu rosakkan negara ini? Kenapa mahu buat kacau berhimpun macam di Kuala Lumpur? Ini tidak baik kepada negara kita dan generasi muda," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Lau dipercayai satu-satunya anggota berbangsa Cina di Kelantan menerima sagu hati khas kerajaan berjumlah RM3,000 kepada bekas polis yang berkhidmat semasa zaman darurat, baru-baru ini.

Lau menyertai anggota "home guard" ketika berusia 16 tahun yang ketika itu bertugas untuk mengawal keamanan kampung baru daripada ancaman komunis oleh kerajaan British pada masa itu.

"Tidak semua orang Cina menyokong komunis seperti saya dengan ramai lagi orang muda yang sebangsa saya menyertai home guard.

"Gaji kecil tetapi kami berbangga jaga kampung daripada ancaman komunis dan pernah berperang dengan komunis yang cuba masuk ke kawasan kami," katanya.

Selepas tamat menyertai pasukan itu kira-kira enam tahun kemudian, Lau kemudiannya bekerja di beberapa tempat sehingga yang terakhir sebagai penebang balak di negeri ini.

Ketika meniti usia emas dan mengharapkan keamanan negara berkekalan, Lau kecewa dengan langkah pihak tertentu yang mengadakan perhimpunan di ibu negara baru-baru ini sehingga menyebabkan kerosakan harta benda awam dan kecederaan kepada petugas media dan anggota polis.

"Saya sedih bila lihat polis yang tugasnya jaga keamanan kena pukul oleh perusuh. Kena ingat sama dia, kalau tidak ada polis bagaimana negara boleh aman macam ini.

"Kenapa sekarang orang tergamak pukul anggota polis. Mahukah kita negara jadi tidak aman? Tolonglah jaga negara kita," katanya.

Lau berkata rakyat Malaysia terutama generasi muda mesti mempelajari sejarah silam negara dan mempelajari tentang bagaimana sukarnya pejuang terdahulu menuntut kemerdekaan negara.

Mengulas pemberian sagu hati khas itu, beliau berkata ia membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap bekas anggota pengawal kampung yang berkhidmat pada zaman darurat itu.

"Saya sangat gembira kerana kerajaan ingat jasa orang macam kami. Kerajaan yang ada sangat bertimbang rasa," katanya.

Lau turut berharap bekas anggota pasukan itu dapat diberikan pencen bulanan oleh kerajaan walaupun dengan jumlah yang kecil.

- Bernama


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas