BlogList Malaysia

11 May 2012

Dibelasah, tangan digari ke belakang

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Jam hampir 5.00 petang waktu itu perhimpunan Bersih 3.0 sudah bersurai, Mohd Anuar Sulong berjalan kaki menuju ke tempat parkir kereta lalu didatangi kira-kira sepuluh anggota polis terus membelasah beliau.

Anuar ketika itu hanya memakai baju biasa tidak menyangka akan menjadi mangsa pukulan polis walaupun sebelum itu telah berselisih dengan beberapa anggota polis, namun mereka tidak menghiraukannya.


200 meter sebelum sampai ke tempat kereta, beliau ditanya polis mahu ke mana, lalu Anwar memberitahu beliau mahu balik ke Terengganu.

"Bila polis dengar saya nak balik Ganu, polis tu menjerit 'Terengganu oi', lalu sekumpulan polis datang ke arah saya terajang belakang dan belasah saya, saya tersungkur," katanya sebagaimana dipetik dari video Jabatan IT Negeri Terengganu.

Waktu itu, Anuar tidak boleh mempertahankan dirinya dan hanya mampu menyerah untuk dibelasah kerana tangannya digari di belakang.

"Polis bertalu-talu tumbuk muka saya. Saya tunduk. Mereka sepak perut pula, waktu itu juga saya rasa sesuatu yang keras mungkin cota dihentak di leher saya. Saya tidak sedar dalam beberapa minit," luahnya.

Menceritakan pengalaman ngerinya dibelasah polis ketika perhimpunan Bersih 3.0 kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berkunjungan ke rumahnya di kampung Padang Kabar, Marang, Terengganu, semalam (gambar atas) bagaimanapun beliau bersyukur kerana Allah masih melindunginya.

"Waktu saya kena belasah itu, Alhamdulillah Allah bersama saya kerana tumbukan sepuluh orang polis, tak berasa sangat. Kalau tengok muka saya yang pecah dan bengkak apatah lagi telinga berdarah, sepatutnya boleh kata sama ada saya koma atau mati antara dua itulah," katanya.

Semasa Anuar diheret ke kenderaan polis, beliau sempat dimarahi polis kerana terpaksa membuat persediaan sepuluh hari untuk himpunan Bersih 3.0.

"Awak tahu tak, saya tak makan nasi lagi ni!," Anuar mengulangi kata-kata polis itu kepadanya semasa beliau dihehet untuk dibawa ke Pulapol, Jalan Semarak.

Malah katanya, semasa di Pulapol Semarak beliau sekali lagi dimarahi sambil polis mengeluarkan perkataan bodoh kerana tidak mahu mendengar arahanya.

"Waktu ditahan, nak makan nasi pun tidak boleh, nganga mulut sakit. Hanya ambil secebis roti cicah air sahaja," luahnya yang ditahan hampir 12 jam.

Dalam menceritakan detik-detik sejarah hitam buat mangsa polis, Anuar melahirkan kekecewaan apabila pihak polis bertindak memukul orang ramai apabila perhimpunan itu sudah bersurai.

Ekoran insiden dipukul polis tempoh hari beliau mengalami luka dalaman di bahagian tibia (tulang kering) menyebabkan ia berdenyut apabila berdiri agak lama.

"Saya kena membuat rawatan selanjutnya, kena toreh buang nanah di tulang kering, bimbang nanah merebak ke tulang. Alhamdulillah tulang saya tidak retak," ujarnya.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas