01 May 2012

Bersih 3.0: Apa arahan Hisham kepada media

Naib Presiden PKR, N Surendran (gambar) meminta Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein mendedahkan dalam masa 24 jam butir-butir lengkap arahan yang diberikan kepada editor media pada 27 April berhubung Bersih 3.0.

Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk kepada perhimpunan Bersih 3.0 dan keganasan pihak polis terhadap wartawan.

“Kami telah mendedahkan bukti bahawa arahan untuk mengganggu, menghalang dan menahan wartawan yang melaporkan tentang perhimpunan Bersih 3.0 datang dari peringkat tertinggi Kementerian Dalam Negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, pada 27 April, Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein Onn telah mengarahkan kesemua ketua editor akhbar-akhbar utama untuk datang bertemu beliau.

“Kami juga diberitahu bahawa semasa pertemuan tersebut, ketua-ketua editor diberi arahan tentang bagaimana melapor keadaan semasa perhimpunan Bersih 3.0 dan mereka juga diminta supaya tidak melaporkan kekejaman pihak polis,” kata Surendran lagi.

Beliau berkata, pihak polis dengan jelas telah mengikut telunjuk Kementerian Dalam Negeri apabila pihak media yang sedang merakam aksi salah guna kuasa polis terhadap orang awam juga dikasari.

Tambahnya, tiada sebarang kenyataan dibuat sehingga kini oleh PM, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara tentang keganasan tersebut.

Katanya lagi, jawapan Hishammuddin bahawa rampasan barang-barang wartawan adalah prosedur biasa pihak polis agak mengejutkan.

“Ini juga serangan yang serius oleh BN terhadap kebebasan akhbar.

“Di bawah sistem demokrasi kita, Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai sebarang hak terhadap media tentang apa yang mereka boleh atau tidak boleh melaporkan,” ujarnya.

Surendran berkata, dalih Najib dengan meminda PPPA 1984 untuk membenarkan kebebasan akhbar ternyata satu kepalsuan.

“Kami menyeru Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein untuk mendedahkan dalam masa 24 jam butir-butir lengkap arahan yang diberikan kepada media semasa mesyuarat itu,” tegasnya yang juga seorang peguam.

Beliau seterusnya meminta Najib dan Hishammuddin menerangkan dan menjawab dakwaan layanan kejam dan salah guna kuasa polis terhadap media dan orang ramai pada 28 April.

Dipetik dari - http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9996-bersih-30-apa-arahan-hisham-kepada-media-27-apr


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas