BlogList Malaysia

09 April 2012

Di samping krisis bola Annuar Musa

TAN Sri Annuar Musa membayar harga begitu mahal gara-gara krisis bola dengan FAM. Dia terpelanting dari jawatan pimpinan ketiga penting dalam badan induk persekutuan bola negara. Dua tahun setengah terlucut dari sebarang hubungan dengan bola.

Krisis bola Annuar ini tidak sekadar menyangkut tentang pengendalian urusan bola itu saja, tetapi boleh terpalit juga sedikit sebanyak mengenai adabnya dengan keberadaan Presiden FAM sebagai seorang penyandang takhta.

Annuar dalam sejarah politiknya cuba menampilkan diri sebagai seorang membebaskan diri dengan pertautan kepada istana. Agak keterlaluan saya andaikan dia seorang republikan. Zahirnya republikan itu bukan adab orang Melayu sejati yang mesti beraja.


Amat payahlah bagi politik orang Melayu apabila ditohmah bercanggah laku dengan istana dan orang-orang yang dekat dengan istana. Mudah dicap derhaka dan sebagainya. Politik orang Melayu amat mudah mengata orang itu derhaka atau tidak suka raja. Ia jadi mainan murah politik.

Tetapi Annuar ada sejarah tidak mahu terikat sangat dengan bau istana ini.

Politik awal Annuar dalam UMNO dibawa ketengah oleh Tengku Razaleigh yang menjadi pemimpin UMNO yang tidak dipertikai di Kelantan masa itu. Ku Li bukan sekadar ditaati UMNO sebagai pemimpin UMNO yang disegani oleh semua, tetapi sesama pemimpin UMKNO itu sendiri silu kepadanya kerana darah rajanya yang pekat dan kedudukannya yang sangat dekat dengan pemegang takhta.

Berbeza pandangan dengannya bukan sekadar bermasalah kesetiaan kepada pemimpin UMNO tetapi boleh menyentuh adab beraja. Begitulah tebalnya pegangan orang Melayu dengan raja seperti resam individu tertentu Selangor sekarang.

Annuar dalam memanjat tangga ke puncak politik UMNO telah berjaya memulakan membebaskan diri dari bertaut sedia dengan putera raja yang amat berkuasa dalam UMNO Kelantan masa itu. Di bawah pimpinan Annuar sebagai ketua UMNO Kelantan menjadikan Ku Li tinggal berpengaruh di Gua Musang saja.

Sekali pun Ku Li membawanya ke tengah tetapi dia juga tenaga utama ke depan melemahkan bisa dan sengat Ku Li sebagai pimpinan penting UMNO.

Adab Annuar lebih menggemparkan lagi ialah menobatkan Tengku Ibrahim Petra, sepupu Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan sedang Sultan Ismail Petra masih bersemayam di takhta kesultanan Kelantan.

Dengan tindakan Annuar itu dia tidak dimasyhurkan sebagai penderhaka, tetapi dia muncul sebagai seorang yang berpendirian bebas dan longgar dalam hubungannya dengan istana.

Walau pun adabnya dengan raja dan orang berdarah raja itu longgar tetapi dia tidak boleh dikata republikan. Jika dia republikan dia tidak terima anugerah bintang Tan Sri dan dia tidak ada duduk dalam mana-mana badan yang Sultan menjadi ketuanya.

Kerana dia juga orang Melayu yang menerima raja, dia sedia jadi salah seorang pimpinan penting FAM yang dipengerusikan oleh Sultan Pahang. Oleh kerana Sultan Pahang menjadi Presidennya, maka hubungan setiap pemimpin persatuan itu samalah seperti adab mana-mana rakyat dengan rajanya.

Selagi Raja itu rasa mahu berkhidmat lagi, maka tiadalah sesiapa bercadang untuk bersaing dengan baginda untuk menjadi pemimpin alternatif. Sekali pun persatuan bola itu menjunjung semangat dan amalan demokrasi, maka masing-masing memberi kesetiaan kepada demokrasi itu sama seperti kesetiaan kepada Raja.

Jika pemimpin persatuan tidak bercakap di luar tentang masalah dalaman bola disebabkan oleh disiplin pertubuhan, tetapi ia juga begitu disebabkan oleh adab Melayu beraja tadi.

Tetapi Annuar yang mungkin sifat semula jadi tidak dibelenggu oleh adab-adab yang ketat itu, maka dia tidak terikat dengan adab yang dikatakan menjadi darah daging orang Melayu itu.

Ia boleh menimbulkan berbagai andaian lagi mengapa Annuar mengkritik perjalanan dan urusan bola yang secara langsung dan tidak langsung menegur perjalanan pimpinan Sultan Ahmad Shah, tetapi kita juga patut memahami bahawa dia adalah seorang yang longgar dengan adab tertentu Melayu itu.

Apa yang dihadapinya ialah kerana mengamalkan kepercayaan dan amalan demokrasi yang difahaminya dan yang dipercayainya.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/9449-di-samping-krisis-bola-annuar-musa?utm_source=dlvr.it&utm_medium=twitter


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas