BlogList Malaysia

10 April 2012

Belasah FRU - Dua Beradik Ditahan


KUCHING – Dua beradik yang menjadi buruan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang anggota polis dibelasah ketika perlawanan Liga Super antara Sarawak menentang Kelantan di Stadium Negeri, Sabtu lalu, ditangkap di rumah mereka di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Pauzi Bujang berkata, suspek berusia 28 dan 30 tahun itu ditahan di rumah mereka pada jam 5 petang, selepas usaha mengesan mereka sebaik tamat perlawanan tidak berhasil.



Katanya, suspek dipercayai mabuk ketika kejadian dan bertindak ganas dengan memukul Lans Koperal Amzari Othman, 33, dari Balai Polis Sungai Maong, selepas diminta polis bersurai dari stadium.

“Suspek ditahan reman sehingga siasatan selesai dan baju yang dipakai ketika kejadian turut disimpan untuk dijadikan bahan bukti.

“Saya meminta penyokong Sarawak atau pelawat datang ke stadium menyaksikan perlawanan supaya tidak terlalu emosi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak diingini,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kota Sentosa, di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 353, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam yang bertugas.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Dalam kejadian Sabtu lalu, dua anggota Polis Anti Rusuhan (Poru) yang cuba meleraikan kekecohan antara penyokong Sarawak dan Kelantan itu diserang dua penyokong yang bertindak ganas dengan menumbuk seorang daripada anggota polis terbabit sehingga pengsan.

Kekecohan bermula apabila sekumpulan penyokong kedua-dua pasukan bola sepak Sarawak dan Kelantan itu, saling mencemuh sebelum pergaduhan tercetus.

Mangsa dikejarkan dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut, sebelum dibenarkan pulang.

- Harian Metro


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas