BlogList Malaysia

02 February 2012

Letupan 9 Jan guna bahan mercun bukan bom

Polis mengesahkan bahawa bahan letupan yang digunakan dalam perhimpunan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di ibunegara pada 9 Januari lepas adalah bahan untuk membuat mercun dan bukannya bom.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata pengesahan itu dibuat selepas polis menerima hasil laporan daripada Jabatan Kimia terhadap siasatan dan kajian bahan letupan yang diambil di tempat kejadian.

"Memang mereka menggunakan 'time device' (alat penjangka masa) namun maklumat yang diperoleh didapati bahan kimia untuk meletupkan silinder yang berisi bebola besi itu ialah (bahan membuat) mercun," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.


Khalid berkata ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang memberikan maklumat berhubung letupan itu masih ditawarkan kerana setakat ini belum ada pihak yang tampil memberikan maklumat.

"Oleh itu kita minta sesiapa yang mempunyai maklumat supaya tampil memberi keterangan sehingga tertangkapnya si pelaku yang membuat bahan letupan itu," katanya.

Sebelum ini polis mengesahkan komponen jam penggera, paip PVC serta bateri, bahan letupan yang digunakan adalah daripada jenis 'Jerangkap Rekaan Elektrik'.

Secara umumnya bahan untuk pembuatan mercun adalah karbait manakala kandungan untuk pembuatan bom lebih kompleks seperti mengandungi kimia seperti C-4.


Dalam insiden itu, tiga letupan berlaku di perhimpunan penyokong Anwar selepas Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan beliau daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Letupan itu mengakibatkan empat orang awam cedera dan seorang lagi mengalami kejutan, selain menyebabkan kerosakan kecil kepada kenderaan milik orang awam.

- Bernama


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas