23 February 2012

Hubungan Dengan Israel - Khairy Salahkan Mahathir Sepenuhnya

KUALA LUMPUR 23 Feb: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin cuba menyalahkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan hubungan dagang antara kerajaan Malaysia dan Israel.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengulas pengakuan Khairy bahawa kerajaan telah menjalinkan hubungan dengan Israel sejak 1996, kononny ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi timbalan perdana menteri.

Menurut Shamsul, mustahil Khairy mampu menafikan hakikat bahawa Mahathir merupakan perdana menteri yang lebih berkuasa ketika itu, berbanding Anwar yang merupakan timbalan beliau.


“Dengan mengatakan hubungan dagang dengan Israel bermula pada tahun 1996, Khairy meletakkan Mahathir dalam keadaan ‘defensive’ kerana Mahathir merupakan Perdana Menteri pada ketika itu.

“Khairy seolah-olah mensasarkan serangan kepada Tun Mahathir, yang selama ini cuba menonjolkan imej anti-Israel dan vokal dalam mempertahankan Palestin, tapi pada masa sama membuat hubungan dengan Israel,” kata Shamsul.

Shamsul berkata, jika benar dakwaan Khairy, beliau mempersoalkan mengapa hubungan dagang dengan Israel itu diteruskan, meskipun Anwar dipecat dari jawatannya dalam kerajaan pada 1998.

Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga ke 15 negara terbesar di dunia yang berurusan dengan rejim zionis dari segi hubungan dagangan.

“Sekiranya kerajaan tidak mengiktiraf negara Israel, tidak sepatutnya wujud sebarang hubungan dengan syarikat mereka, seperti APCO yang mendapat bayaran RM77 juta setahun oleh kerajaan,” kata Shamsul.



Kapal kargo Israel yang berlabuh di Pelabuhan Klang

Mengulas isu yang sama, Naib Ketua AMK, Azmizam Zaman Huri berkata, setiap perubahan dasar membabitkan hubungan dengan Israel, semestinya diluluskan di dalam mesyuarat kabinet.

“Semua orang tahu bahawa Tun Mahathir yang mempengerusikan mesyuarat kabinet pada tahun itu (1996),” ujar Azmizam.

“Kerajaan Umno-BN selama ini mendakwa mereka anti-Israel, sebaliknya menuduh Datuk Seri Anwar pula sebagai agen Zionis,” katanya lagi.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas