BlogList Malaysia

28 February 2012

Ada Puak Nak Buat Naya Kat Azizan Razak..

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengecam pihak yang cuba menyingkirnya daripada jawatan itu dengan menggunakan pemimpin dalaman PAS.

Katanya, pendirian dua exco, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh yang tidak mahu dipilih semula tidak harus dieksploitasi pihak terbabit untuk memaksa beliau turun daripada kerusinya.

“Apa dosa saya? Saya tidak ada skandal perempuan. Tidak sapu projek.Tidak ambil balak. Rakyat Kedah gembira dengan apa yang ada sekarang.


“Orang yang cuba menjatuhkan saya tidak datang berdepan dengan saya.

“Jika mereka menggunakan orang dalaman untuk tujuan itu, saya minta maaf, saya memang tidak tahu. Kalau hendak tukar saya pun, rakyat yang akan tentukan dalam pilihan raya. Bukan melalui cara politik macam ini,” katanya dipetik akhbar Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika meluahkan apa yang terbuku di hatinya bagi menjelaskan mengenai gerakan pihak tertentu yang cuba menjatuhkannya selepas empat tahun mentadbir kerajaan negeri sejak pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Akhbar berkaitan Umno itu juga memetik pesuruhjaya PAS Kedah berusia 72 tahun itu berkata, beliau tidak menyangka ada pihak tertentu yang tidak senang dengan kepimpinannya, tetapi mengakui bersifat tegas ketika memimpin pentadbiran kerajaan negeri dan parti.

Secara senyap

Menteri Besar itu juga dilaporkan Berita Harian sebagai berkata, sebelum ini tiada sesiapa sama ada dalam PAS, PKR atau DAP hadir secara berhadapan dengannya untuk memaksa beliau meletak jawatan.

Bagaimanapun, katanya, jika ada pihak tertentu bergerak secara senyap untuk tujuan itu, beliau meminta mereka menghormati sistem pemilihan ketua kerajaan melalui pilihan raya.

“Kita serahkan kepada rakyat Kedah untuk menentukannya. Hanya pilihan raya yang boleh mengubah pemimpin,” katanya lagi.

Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia pula melaporkan Azizan bersedia memaafkan dua exco yang enggan dilantik semula memegang jawatan itu kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan beliau.

Beliau dipetik sebagai berkata, dirinya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kedua-dua exco tersebut dan boleh menerima mereka semula.

"Saya tak ada masalah dengan depa (mereka). Kalau ada orang nak pujuk, depa mau, saya terima. Saya juga tak kisah depa nak terima atau tidak tawaran sebab ada orang lain mau (mahu) jawatan ini," katanya.

Exco kanan itu ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi (atas, kanan) dan Datuk Dr Ismail Salleh.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada sidang akhbarnya berkata PAS Pusat telah mengarahkan naib presidennya, Salahuddin Ayub ke Kedah sebagai perantara bagi membantu menyelesaikan kemelut yang melanda Azizan dan dua exco tersebut.

Beliau turut menafikan berlaku cubaan menggulingkan Menteri Besar, namun tidak menolak berlaku perbezaan pendapat bagi menangani isu-isu tertentu dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah dan diburukkan lagi dengan media arus perdana, milik BN dan Umno yang cuba melaga-lagakan mereka.

Sementara itu, akhbar Sinar Harian turut melaporkan Azizan sedia akur dengan sebarang 'formula penyelesaian' daripada PAS Pusat berhubung isu berkenaan.

Terpulang kepada mereka

Namun kata menteri besar itu, keputusan sama ada untuk kekal atau tidak dalam barisan exco terpulang kepada mereka sendiri.

"Kalau PAS Pusat kata mahu semua barisan exco dikekalkan, saya akan akur tetapi adakah mereka mahu," katanya dipetik akhbar itu.

Azizan pada sidang media sebelum ini berkata, hanya lapan exco akan mengangkat sumpah jawatan hari ini manakala dua lagi dijangka mengangkat sumpah jawatan pada majlis kedua, memandangkan tempoh lantikan bagi penggal 2011 hanya akan berakhir 7 Mac ini.

Sementara itu, lapan nama yang dijadual mengangkat sumpah jawatan hari ini ialah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (Agama, Pelajaran dan Koperasi), Datuk Amiruddin Hamzah (Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan), Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib (Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan), Datuk Siti Ashah Ghazali (Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat) dan Abd Ghani Ahmad (Penerangan dan Pembangunan Usahawan).

Tiga exco dari PKR Datuk S Manikumar (Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam), Lim Soo Nee (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia) dan Tan Chow Kang (Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan) turut berada dalam senarai.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas