BlogList Malaysia

05 November 2011

Nafi Peranan Selangor, Raja Bersiong Berlagak Hero

KUALA LUMPUR, 5 Nov: Dewan Pemuda PAS Titiwangsa (DPPKT) menyelar sikap sombong Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dalam isu pentadbiran Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS).

Menurut ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, Nong Chik dalam kenyataannya hari ini dengan angkuh menolak penglibatan kerajaan negeri Selangor dalam MAS dan menganggap Wilayah Persekutuan sahaja punyai autoriti terhadap MAS.

"DPPKT menganggap Datuk Raja Nong Chik cuba berlagak hero dengan menafikan peranan Kerajaan negeri Selangor dan kuasa Menteri Besar Selangor terhadap MAS dan Kampung Baru.

"Seolah-olah beliau sahaja layak untuk bercakap soal Kampung Baru dan pentadbirannya," katanya.


Hakikatnya menurut beliau, Menteri Besar Selangor masih berkuasa terhadap Kampung Baru berdasarkan Peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951 [The Malay Agricultural Settlement Rules 1951] Warta Negeri Selangor No.50/1951.

Tambahnya, kaedah-kaedah Peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951 tersebut masih tidak dibatalkan atau dipinda atau digantikan dengan undang-undang yang diluluskan Parlimen, dan oleh itu ia masih lagi berkuatkuasa sehingga hari ini.

Kawasan MAS seluas lebih kurang 221.5 ekar ini adalah kawasan penempatan bagi orang-orang Melayu dan telah diwujudkan melalui perizaban tanah di bawah Seksyen 6 Enakmen Tanah Selangor 1897, yang mana Enekmen Tanah ini tidak pernah dimansuhkan walaupun dengan wujudnya Kanun Tanah Negara pada tahun 1965.

"Bagaimana beliau boleh menafikan penglibatan Menteri Besar Selangor dalam Kg Baru sedangkan ia telah tersurat sejak sekian lama.

"Menolak penglibatan Menteri Besar Selangor terhadap MAS menunjukkan ada unsur campurtangan politik dalam MAS sendiri.

"Rakyat melihat betapa rakusnya Menteri Wilayah Persekutuan dalam menentukan isu Kampung Baru, seolah-olah nasib dan masa depan kampung tersebut ada ditangannya," katanya tegas.

Menurut Suhaimi, jika benar Nong Chik tiada niat unsur politik dalam isu Kampung Baru, sebaiknya beliau duduk berbincang bersama dengan Kerajaan Selangor memandangkan ia berkait dengan undang-undang yang melibatkan Kerajaan Selangor dengan Wilayah Persekutuan.

Nong Chik ujarnya, perlu menunjukkan keikhlasan beliau untuk membangunkan Kampung Baru dengan mengajak semua pihak termasuk pembangkang duduk semeja bagi membincangkan masa depan pentadbiran kampung tersebut.

"Seharusnya beliau insaf dan malu dengan kerajaan Selangor yang berusaha menyelamatkan tanah warisan orang Melayu itu dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan terhadap penduduk termasuk MAS.

"Sepatutnya RUU PPKB 2011 tersebut dibincangkan dulu dengan penduduk Kampung Baru dan penduduk diberikan salinan undang-undang tersebut untuk pemahaman mereka sebelum Menteri secara gelojoh dan tergesa-gesa meluluskan RUU PPKB 2011 hanya 2 hari selepas ia dibentangkan di Dewan Rakyat," tambahnya lagi.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas