BlogList Malaysia

29 October 2011

Sultan lepas jawatan canselor jika pelajar terbabit dalam perhimpunan haram

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan penuntut dan graduan agar tidak terjebak dengan gejala tidak sihat seperti menyertai perhimpunan haram sehingga menggugat kestabilan negara.

Sultan Ibrahim, yang juga Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bertitah sebaliknya mereka perlu bersyukur dengan peluang diberikan untuk menuntut ilmu dan tidak terlibat dengan aktiviti politik, atau menjadi pengikut kumpulan politik jalanan yang antikerajaan.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa sekiranya gejala sebegini berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar universiti ini, pada masa akan datang saya tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatan saya sebagai Canselor universiti ini.


"Adalah lebih baik untuk saya mengundurkan diri daripada nama saya turut tercemar dengan perbuatan yang akan memburukkan nama dan imej universiti ini," titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-11 UTHM hari ini.

Seramai 2,245 graduan menerima sijil masing-masing di konvokesyen tersebut, yang merangkumi Ijazah Doktor Falsafah seramai sembilan orang , Sarjana (164), Sarjana Muda (1,832) dan Diploma (240).

Sultan Ibrahim juga bertitah antara gejala sosial yang sering dipaparkan akhbar melibatkan segelintir penuntut perempuan melakukan aktiviti tidak bermoral seperti menjual maruah diri semata-mata untuk memperoleh kemewahan dengan cara mudah.

Sehubungan itu, baginda berpesan kepada penuntut dan graduan agar menjadi manusia yang berpegang teguh kepada ajaran agama, serta berusaha mengharumkan nama universiti selain membalas pengorbanan dan jasa kedua ibu bapa tercinta.

Baginda turut mengingatkan pihak pentadbiran UTHM agar mempercepatkan pembinaan kampus bidang aeronautik di Tanjung Labuh.

"Kelewatan projek ini hanya akan menjejaskan pelaksanaan pengajian bidang aeronautik dan melibatkan kos sampingan," titah baginda.

- Bernama

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas